PolitikSemasa

10 resolusi dikemukakan dalam sidang Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023

BANGI: Sepuluh resolusi telah dikemukakan dalam sidang Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam di Hotel Tenera Bangi, Selangor pada Selasa.

Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023 ini merupakan inisiatif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) bagi mengetengahkan kepentingan isu-isu berkaitan perpaduan, ummah, pembangunan ekonomi, tatakelola kerajaan, pendidikan anak muda serta isu-isu lain yang memerlukan penggembelengan usaha bersepadu antara NGO dan pihak kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin telah mengemukakan resolusi berkenaan selepas dipersetujui kira-kira 400 wakil NGO Islam yang menyertai konvensyen berkenaan.

Pembentangan resolusi itu dibaca di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd, Na’im Mokhtar pada majlis penutup konvensyen berkenaan.

Menurut Zamri Zainal, resolusi yang pertama adalah mengakui bahawa Malaysia Madani merupakan satu gagasan yang membawa nilai khusus yang berupaya menyelesaikan permasalahan ummah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan masa hadapan dan memenuhi potensi rakyat serta negara.

“Suara dan hasrat khalayak NGO serta agensi kerajaan harus sinergi bagi memastikan usaha membangun negara Madani ini seiring dengan kegiatan dakwah agar mesej rahmah diterjemahkan kepada masyarakat dengan lebih strategik merupakan resolusi kedua yang mendapat kata sepakat,” kata Zamri Zainal.

Zamri Zainal turut menyatakan bahawa resolusi ketiga iaitu menggerakkan inisiatif berterusan dengan membangun satu pelan tindakan yang konstruktif untuk dilaksanakan oleh NGO Islam bersama-sama agensi kerajaan di seluruh negara dalam usaha menyampaikan mesej keharmonian dan kebajikan ke arah pembinaan sebuah negara yang mampan, makmur, progresif dan harmoni.

“Resolusi keempat, memperkasa Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) YADIM secara proaktif sebagai platform untuk NGO Islam mengemukakan pandangan dan mendapat maklum balas langsung daripada agensi-agensi kerajaan terkait isu-isu yang menyentuh kepentingan ummah dan negara dengan menjadikan Konvensyen Perpaduan NGO Islam sebagai acara berkala.”

“Konvensyen turut bersetuju mengemukakan resolusi yang kelima iaitu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai satu entiti yang dihormati dan berpengalaman perlu menjadi penyelaras bagi penyaluran dana daripada kerajaan kepada khalayak NGO di seluruh negara.”

“Keenam ialah menangani masalah sosial negara melalui pendekatan ad-Din berasaskan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah mutawatir secara komprehensif dengan mengutamakan kebajikan dan memperkasakan NGO yang aktif dalam membantu kerajaan semasa dengan menjadi ejen kepada suara rakyat dalam menggerakkan agenda perpaduan,” tegas Zamri Zainal.

Tambahnya lagi, resolusi ketujuh yang dikemukakan ialah pendidikan dan institusi kekeluargaan yang mantap hendaklah menjadi at-Tamkin (asas pengukuhan) perpaduan dan bergerak secara proaktif serta responsif terhadap isu-isu pendidikan dan masalah sosial bagi memastikan generasi muda terdidik dengan akidah, syariah, akhlak Islamiah, adab, kepimpinan dan keutuhan jati diri dengan membina modul dan silibus yang berkesan.

Wakil NGO MAPIM Malaysia, Ustaz Fakhruddin Hj Zainol (berkopiah putih)

“Bagi resolusi kelapan pula, merakyatkan kemahiran, kepimpinan dan bakat anak muda secara inklusif menerusi program antara agensi kerajaan dan NGO Islam demi melahirkan anak-anak muda yang berdedikasi, berkaliber dan berketerampilan.”

“Resolusi kesembilan dengan merangka pelan tindakan strategik, tuntas dan efektif dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan agenda ekonomi bagi melahirkan generasi usahawan serta memperkasa institusi-institusi yang berperanan dalam memperjuang pembangunan ekonomi umat Islam.”

“Akhir sekali, resolusi kesepuluh, membangunkan kompleks lengkap dengan fasiliti seperti pejabat, dewan seminar, dewan serbaguna dan bilik latihan; milik bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan daripada dana kerajaan bagi membolehkan kerja-kerja khidmat sosial dan kesukarelawanan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang, teratur, dan tersusun demi manfaat masyarakat,” kata Zamri Zainal. 

BACA JUGA
Apa hukum isteri mohon cerai?

 

Related Articles

Back to top button