PalestinSemasa

100 hari serangan israel laknatullah ke atas Gaza

Hari ini genap 100 hari sejak israel memulakan serangan  tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.

Pada masa artikel ini ditulis, jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza telah meningkat kepada hampir 24,000 orang apabila israel menggugurkan lebih daripada 65,000 tan bom ke atas 2.3 juta penduduk Gaza yang terperangkap dalam kawasan seluas kurang daripada 400 kilometer persegi.

Serangan israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober, sebagai tindak balas kepada serangan Briged Qassam, sayap bersenjata Hamas atas kekejaman israel.

Sebagai tindakan balas, israel memulakan kempen pengeboman ganas dan mengetatkan kepungan yang sudah pun menghancurkan Gaza sejak 2007.

“Kami memerangi binatang,” kata Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant pada 9 Oktober, mengumumkan bahawa makanan, air, bahan bakar, ubat-ubatan, segala-galanya, tidak akan dibenarkan masuk ke Gaza.

Sejak itu, israel meneruskan kempen keganasan ke atas rakyat di Gaza, membunuh seluruh generasi keluarga dan memusnahkan sebahagian besar kediaman di bandar dan di luar bandar  tanpa mempedulikan kutukan juga rayuan daripada pertubuhan antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia.

Israel kini dituduh oleh Afrika Selatan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague Belanda.

Bercakap pada hari Sabtu, selepas pembentangan oleh kedua-dua pihak  di ICJ, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata “Tiada siapa yang akan menghalang kami, bukan The Hague, bukan paksi kejahatan dan bukan orang lain.” Komen “paksi” beliau merujuk kepada Iran dan sekutunya.

Israel sering mewajarkan pembunuhan dan kemusnahan ini  atas nama mempertahankan diri walaupun hakikatnya ia menyimpang jauh daripada kenyataan.

Di samping itu, Omer Tishler, brigadier-jeneral yang mengetuai Tentera Udara Israel, memberitahu Jerusalem Post seawal 11 Oktober bahawa kempen pengeboman telah membunuh seluruh kawasan kejiranan hanya untuk mensasarkan satu atau dua “komander Hamas”.

Israel menggunakan sistem AI yang dikenali sebagai (Habsora) yang mengeluarkan sasaran berpotensi dengan lebih cepat dan serangan ke atas sasaran tersebut boleh dilakukan lebih pantas.

Dengan menamakan sasaran yang dijana Habsora sebagai “tentera”, Tishler menyimpulkan dengan tanpa perikemanusian: “Selalu ada sasaran ketenteraan, tetapi kami tidak melakukan tapisan.”

Ini bermakna israel telah menggugurkan bom di kem pelarian, hospital, sekolah dan seluruh kawasan kejiranan, yang semuanya telah musnah.

Israel mendakwa bahawa sistem “amaran” yang diberikan adalah mencukupi dan membebaskan mereka daripada dosa.

Sistem yang dimaksudkan ialah risalah yang digugurkan dari udara di kawasan kejiranan bagi memaklumkan penduduk bahawa rumah mereka akan dibom, memberi mereka masa  dari satu jam hingga satu atau dua hari untuk meninggalkan rumah dan kehidupan mereka dengan berjalan kaki.

Sejak 7 Oktober, Israel telah membenarkan wartawan dari seluruh dunia datang ke Israel bagi membuat laporan dan melawat (dengan kawalan) ke kawasan yang diserang oleh Briged Qassam dan pejuang Palestin yang lain.

Pada bulan November, dua rangkaian berita Barat pergi secara berasingan ke Gaza, di mana mereka diiringi oleh tentera Israel dan dibawa berkeliling dan menunjukkan pelbagai kawasan yang telah ‘disediakan’ untuk lawatan mereka.

Bagaimanapun, Israel tidak membenarkan kemasukan mana-mana wartawan asing atau Palestin ke Semenanjung Gaza untuk membuat laporan sendiri.

Pada akhir Oktober, agensi Reuters dan Agence France Presse menulis surat kepada tentera israel untuk meminta wartawan mereka di Gaza tidak menjadi sasaran.

Tentera israel memberitahu bahawa mereka melindungi orang awam tetapi “tidak dapat menjamin keselamatan wartawan di Semenanjung Gaza”, dan mendakwa Hamas sengaja beroperasi berhampiran wartawan, sekali gus meletakkan wartawan dalam jarak tembakan.

Media asing merayu membatalkan larangan memasuki Gaza, tetapi pada 9 Januari, Mahkamah Agung Israel menolak petisyen mereka, mendakwa kehadiran wartawan asing di Gaza boleh membahayakan tentera Israel dengan mendedahkan lokasi operasi israel.

Bagi wartawan di Gaza, mereka mendapati diri mereka berada dalam bahaya yang semakin meningkat, dan tidak ada penghormatan diberikan kepada tanda ‘press’ yang mereka pakai setiap hari.

Sehingga kini, 100 wartawan dan pekerja media Palestin telah terbunuh di Gaza, hampir seorang setiap hari.

Dua mangsa terakhir, Hamza Dahdouh dari Al Jazeera dan ‘freelancer’ Mustafa Thuraya, terbunuh dalam serangan udara yang disasarkan ke atas kereta mereka di Khan Younis pada 7 Januari.

Pada 15 Disember, tentera Israel mensasarkan sebuah sekolah di Gaza seperti yang dilaporkan oleh jurukamera Al Jazeera Samer Abudaqa dan ketua biro Gaza Wael Dahdouh. 

Dahdoud ditembak di lengan dan sempat pergi ke ambulans berhampiran. Abudaqa cedera parah di kaki dan tidak dapat melarikan diri.

Untuk lima jam berikutnya, Intercept mendapati, dia masih terbaring berdarah kerana tentera Israel tidak membenarkan ambulans pergi menyelamatkan wartawan itu. Selepas beberapa ketika, Abudaqa pun terkorban.

Sejak awal perangnya ke atas Gaza, israel menuduh Hospital al-Shifa berfungsi sebagai pusat arahan Briged Qassam yang berada di dalam terowong di bawah hospital terbesar Gaza tersebut.

Selepas menandakan al-Shifa sebagai sasaran – sambil mengisytiharkan bahawa berpuluh-puluh ribu orang yang sakit, cedera, dan yang berkumpul di sana tidak menjadi sasaran – tentera Israel mengepung hospital pada awal November dan kemudahan perubatan terus disekat.

Dunia menyaksikan kakitangan hospital terpaksa mengeluarkan 36 bayi pramatang daripada inkubator mereka yang tidak berfungsi dan melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka hangat dan bernafas tanpa peralatan.

Lapan bayi meninggal dunia ketika serangan israel ke atas hospital dan meningkatkan ketakutan orang awam di hospital yang sudah hilang semangat.

Israel menyerbu hospital pada 15 November dan memberitahu orang yang berlindung di sana untuk meninggalkannya dengan berjalan kaki, dan menuju ke selatan di Gaza. Namun israel sekali lagi berdalih dengan menafikan ia telah mengeluarkan arahan pemindahan untuk hospital itu.

Enam hari kemudian, bayi yang masih hidup dibenarkan berpindah ke arah selatan menuju Rafah. Mereka akhirnya dibawa ke Mesir untuk mendapatkan rawatan yang sangat mereka perlukan.

Sehari kemudian, program Kementerian Pertahanan Israel, Koordinasi Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT), berkata ia telah menghantar sejumlah besar makanan ke hospital, termasuk kek, taburan coklat dan limau. Namun itu semua hanyalah wayang bagi mengaburi mata dunia.

Hospital Al-Shifa tidak bersendirian. Israel nampaknya mensasarkan semua hospital di Gaza secara sistematik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Israel telah menyerang kira-kira 94 kemudahan perubatan, termasuk 26 hospital, sejak 7 Oktober.

Antara hospital yang musnah ialah Hospital Indonesia, dan Hospital Syahid Al-Aqsa.

Terdapat hampir 600 serangan Israel ke atas hospital dan penjagaan kesihatan di Gaza sejak Oktober, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam serangan ini, Israel membunuh kira-kira 606 orang dan memusnahkan sistem penjagaan kesihatan dan menghalang medik daripada menyelamatkan nyawa beribu-ribu mangsa di kawasan itu.

Hospital-hospital yang masih berdiri itu bekerja dengan kekurangan bekalan yang teruk, melakukan pembedahan tanpa anestetik dan hanya mampu memberikan parasetamol kepada orang yang dipotong kakinya – seperti Ahmad Shabat yang berusia tiga tahun , yang kehilangan kedua-dua kakinya dalam pengeboman Israel.

Doktor juga menceritakan bahawa mereka terpaksa menjalankan pembedahan Caesarean tanpa ubat bius.

Mohammed Mhawish dari Al Jazeera menulis dia tidak dapat mengakses bantuan perubatan atau sekadar antibiotik selepas dia dan rumah keluarganya musnah dalam serangan israel.

Mohammed memberitahu sepanjang malam dia dan ahli keluarganya tidak dapat tidur kerana ada yang patah tulang dan cedera parah.

“Jangkitan adalah kebimbangan yang berterusan,” tulisnya, “Setiap kali ada kesan jangkitan muncul, luka perlu dibersihkan dengan air yang sangat panas sehingga membakar kulit yang sihat di sekeliling luka. Sukar untuk memahamkan [anak lelaki Muhammad yang berusia dua tahun] Rafik bahawa kami tidak cuba untuk membakarnya.”

Namun israel terus berbohong dengan mendakwa mereka melakukan segala yang mungkin untuk membantu menyediakan penjagaan kesihatan kepada penduduk Gaza.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), keadaan hidup kanak-kanak terus merosot di Gaza, dengan kes cirit-birit dan penyakit kulit meningkat dan meningkatkan risiko lebih banyak kematian kanak-kanak.

Israel telah menggunakan taktik pengepungan zaman pertengahan, dengan mengehadkan jumlah makanan, air dan bahan api yang boleh memasuki Gaza.

Daripada kira-kira 500 trak bantuan kemanusiaan yang masuk setiap hari bekerja – sebagai tambahan kepada perdagangan biasa – Gaza telah ditebang menjadi tiada apa-apa selama dua minggu. Loji penulenan air dan rawatan kumbahan dihentikan, kerana mereka kehabisan bahan api yang diperlukan untuk terus beroperasi.

Terdesak, penduduk Gaza mula meminum air masin yang tidak boleh diminum dan mandi serta membasuh pakaian mereka di laut, mengakibatkan penularan penyakit kulit akibat terkena air laut yang tercemar.

Di Semenanjung Gaza, di mana 80 peratus rakyat bergantung kepada bantuan kemanusiaan, minggu-minggu tanpa bekalan makanan amat memeritkan. Kelaparan menjadi realiti setiap hari dan ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan mati kebuluran di depan mata.

Penghantaran bantuan kemanusiaan yang akhirnya dibenarkan masuk tidak pernah cukup untuk memberi makan kepada penduduk yang sudah terdesak. PBB mengatakan bahawa kira-kira satu daripada setiap empat orang di Gaza kebuluran dan dua pertiga daripada keluarga di beberapa kawasan hanya makan sekali sehari.

Sebelum perang israel ke atas Gaza, bantuan kemanusiaan juga dibenarkan masuk melalui beberapa lintasan, yang kini dikurangkan menjadi satu, iaitu lintasan Rafah dengan Mesir, dan dibebani dengan protokol pemeriksaan yang panjang dan memperlahankan proses penghantarannya.

Menurut agensi bantuan dalam Gaza, wilayah itu kini mengalami krisis kelaparan yang paling teruk di dunia.

Kakitangan agensi bantuan melaporkan bahawa keluarga sedang membongkar runtuhan dan mencari apa sahaja sisa makanan yang mereka temui.

Daripada skala lima fasa yang digunakan untuk mengklasifikasikan krisis makanan, lebih daripada setengah juta orang di Gaza atau satu perempat daripada keseluruhan penduduk – kini sedang melalui fasa 5 “tahap bencana” yang paling teruk.

Dalam erti kata lain, mereka kini berada pada risiko kritikal kebuluran besar-besaran dan kematian.

Menurut PBB, pada minggu terakhir Disember, bantuan makanan hanya mencecah 8 peratus daripada golongan sasaran yang memerlukan.

Sejak awal serangan israel, penderitaan di Gaza telah berada di pelbagai peringkat.

Ramai penduduk yang kelaparan, tidak dapat mendapatkan rawatan perubatan, dan tidak dapat menghubungi keluarga di lokasi lain. Mereka dibelenggu dengan ketidakpastian berterusan.

Israel mengarahkan orang di utara untuk “menuju ke selatan” pada hari-hari awal serangannya. Antara orang yang menyahut seruan itu ialah Dina, seorang ibu muda yang bersama anak-anak perempuannya menaiki trak meninggalkan Kota Gaza pada 13 Oktober dan menuju ke selatan dalam konvoi.

Walaupun pengumuman Israel bahawa laluan pemindahan selamat, konvoi itu dibom dan Dina terbunuh, meninggalkan dua anak perempuannya dan suaminya yang masih hidup.

Kemusnahan semakin bergerak ke selatan Gaza, menghimpit penduduk yang terdesak ke kawasan sempadan berhampiran Mesir.

Pada awal Disember, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa orang-orang di Gaza “disuruh bergerak seperti bola pingpong manusia – memantul di antara bahagian selatan yang semakin kecil, tanpa sebarang kemudahan asas untuk terus hidup”.

Kemusnahan ratusan ribu unit rumah juga bermakna orang yang berpinda tidak ada tempat berteduh, dan ratusan ribu telah berkhemah sdi kawasan hospital, di jalan raya, dan di padang kosong.

Pada 10 Januari, empat kanak-kanak terbunuh akibat bom israel yang dijatuhkan di tanah pertanian berhampiran Rafah di tempat pelarian Gaza berlindung. Wilayah berhampiran persimpangan sempadan adalah labirin khemah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan mencari perlindungan daripada serangan israel.

Beratus-ratus rumah telah dihancurkan sepanjang perang di Gaza, kebanyakannya berada dalam kawasan yang didakwa tentera Israel sebagai “selamat”.

Apabila serangan berlaku, keluarga, jiran dan penyelamat sukarela bergegas ke tempat kejadian dan mula menggali runtuhan, selalunya dengan tangan kosong, untuk menyelamatkan sesiapa yang mungkin masih hidup.

Israel mendakwa bahawa ia beroperasi dengan memikirkan keselamatan orang awam Gaza dan bahawa ia sedang melakukan segala usaha untuk mengelakkan sebarang kematian yang tidak perlu dan terbukti mereka adalah pembohong besar.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med yang berpangkalan di Geneva, Israel telah sengaja mensasarkan tempat perlindungan di Gaza dalam usaha untuk memaksa penduduk mencari jalan keluar dari Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, organisasi itu menegaskan bahawa serangan yang disasarkan Israel ke atas pusat perlindungan Gaza adalah melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya undang-undang kemanusiaan.

Ketika penderitaan kemanusiaan rakyat Gaza berterusan, masih belum dapat dilihat sama ada kutukan dan tekanan antarabangsa terhadap Israel akan membantu menghentikan serangannya yang tidak henti-henti.

 

SUMBER : AL JAZEERA

 

Related Articles

Back to top button