Covid19KerohanianSirah

Ambil Iktibar Kisah ‘Lockdown’ Nabi Yunus Untuk Hadapi PKP Dengan Tenang

Sudah termaktub di dalam Quran kisah-kisah para nabi yang diutuskan agar dijadikan panduan kepada mereka yang beriman. Segala ujian yang dihadapi mereka adalah bukti bahawa Allah SWT memberi ujian tanpa mengira mereka itu istimewa atau cuma orang biasa. Tetapi sebagai umat Islam kita wajib beriman bahawa segala qada dan qadar Allah itu adalah untuk kebaikan hambaNya.

Di antara kisah yang paling banyak disebut adalah kisah baginda Nabi Yunus A.S. ketika dakwahnya ditentang oleh kaumnya. Kemudian baginda pergi membawa diri dalam keadaan kecewa dan putus asa terhadap kaumnya lalu menaiki sebuah kapal. Kita semua tahu apa terjadi kepada baginda selepas itu. Allah takdirkan baginda dibuang ke dalam laut dan ditelan hidup-hidup oleh seekor ikan nun (paus). (Rujuk Surah Al- Anbiya ayat 87-88)

Cuba bayangkan keadaan baginda yang tidak ada teman seorang pun bersamanya ketika berada dalam ‘lockdown’ yang maha dahsyat itu. Dalam tiga lapis kegelapan iaitu gelap malam, di dasar lautan dan dalam perut ikan paus. Tiada internet, tiada telefon, tiada komputer mahupun televisyen.

Jangan dilupa nabi yang diutus Allah juga manusia biasa, ada keinginan dan keperluan seperti kita. Bolehkah anda gambarkan apakah yang menjadi makanan dan minuman Nabi Yunus sepanjang baginda berada di dalam perut ikan paus? Sebanyak mana nikmat yang ditarik dari sisi baginda ketika tempoh berkurung itu? Dengan siapa baginda meluahkan rasa sedihnya?

Lalu bagaimana baginda boleh bertahan lama dalam keadaan yang akur dengan ketentuan Allah SWT?Rahsianya adalah, walaupun baginda diuji sebegitu berat, dia langsung tidak mengeluh malah berzikir dan bertaubat setiap saat tanpa gagal kerana sedar akan kesilapannya yang lalu. Allah telah memberi amanah untuk baginda sampaikan wahyuNya tetapi dia bertindak terburu-buru malah pergi meninggalkan kaumnya.

Dia berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi Yunus membaca doa:

Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya Allah, Maha Suci Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku.”

Maka Allah perkenankan permintaannya dan Allah lepaskan dia daripada kedukaan. Demikianlah Allah selamatkan orang yang beriman.

Apa yang kita lalui sekarang langsung tidak boleh dibandingkan dengan keadaan baginda nabi Yunus AS. Malah kita bukan dihukum sepertinya yang dibuang ke dalam laut tanpa alat keselamatan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah satu bentuk hukuman, ianya adalah satu bentuk perisai yang diberi oleh kerajaan agar kita selamat sementara petugas-petugas barisan hadapan yang berkorban di medan perang melawan virus corona.

Kita hanya diminta untuk duduk di rumah, luangkan masa bersama keluarga. Ada teman berbicara, ada hiburan di kaca televisyen, ada internet yang membolehkan akses kepada semua informasi yang diperlukan. Tiada sekatan untuk keluar membeli barang keperluan, tiada sekatan untuk membeli barang secara atas talian. Bukan sahaja kita lebih banyak masa untuk urusan peribadi, kita juga lebih banyak masa untuk beribadah.

Talian hayat kita? Jaga kebersihan diri dan elak berada di tempat awam. Patuh pada langkah pencegahan yang digariskan oleh pihak pemerintah selagi tidak bertentangan dengan syara’.

Sumber rezeki kita? Berniaga jika mampu, jika tidak berjimatlah dalam berbelanja. Jangan lupa bersedekah kerana itulah urus niaga yang paling dijamin akan memberi pulangan yang tidak mengecewakan.

Dan yang paling penting, sentiasalah beristighfar dan bertaubat seperti mana Nabi Yunus AS lakukan ketika baginda diuji. Kita belum tentu selamat dari musibah COVID-19 ini, tetapi biarlah kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik supaya pengakhiran kita bernokhtahkan husnul khotimah hendaknya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button