SemasaSyariah

Cerai, keganasan rumahtangga meningkat ketika PKP3.0, Peguam Syarie mohon mahkamah beroperasi

Masalah kewangan, stres, hilang kerja faktor pendorong

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan melanjutkan PKP 3.0 (Total Lockdown) daripada 15 Jun 2021 sehingga 28 Jun 2021, telah menyebabkan operasi Mahkamah Syariah seluruh negara tidak dapat beroperasi. Begitu juga dengan sektor atau industri guaman syariah (Peguam Syarie) yang tidak dapat beroperasi seperti biasa. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya permasalahan-permasalahan yang memberi kesan kepada masyarakat Islam secara keseluruhanya.

Sehubungan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mewakili seluruh Peguam Syarie-Peguam Syarie di negara ini menggesa Majlis Keselamatan Negara, MKN, membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara serta firma peguam syarie beroperasi sepanjang PKP3.0 ini.

KES PERCERAIAN MENINGKAT KETIKA PKP

Menurut Presiden PGSM Musa Awang, gesaan itu dibuat berdasarkan kepada sandaran-sandaran seperti berikut:

  1. Kes-kes yang didengar dan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja, akan tetapi ia meliputi kes-kes pertikaian yang lain seperti kes-kes keganasan rumahtangga, permohonan Perintah injunksi tegahan terhadap gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, Perintah Interim jagaan anak, dan sebagainya.
  2. Media telah melaporkan dan statistik merekodkan bahawa kes-kes perceraian berlaku peningkatan luar biasa semasa PKP. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Dato’ Setia Dr. Mohd. Naim Bin Hj. Mokhtar pernah melaporkan bahawa sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu (2020).

PGSM dalam satu kenyataannya kepada UMMAHToday,  pada 14  Jun, berkata,  hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP telah mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian. Masalah kewangan dikenal pasti menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP. Kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga dan berlakunya perceraian.

“Apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan mereka kepada Mahkamah Syariah atau Peguam Syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi. Rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan  yang berlaku tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya, supaya tidak timbul rentetan masalah-masalah yang lain.” – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) / Musa Awang

KES KEGANASAN RUMAHTANGGA MENINGKAT

Menurut kenyataan itu lagi, kes-kes Keganasan Rumah Tangga (KRT) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kian meningkat dengan ketara. Pada 4 Mei 2021, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, berkata kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.

Menurut laporan statistik, sebanyak 902 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun 2021 (empat bulan pertama tahun 2021), dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.

Manakala menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.

 “Apabila berlaku keganasan dalam rumahtangga, mangsa boleh merujuk perkara tersebut kepada Peguam Syarie, yang akan menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis, mendapatkan Perintah Injunksi Interim Tegahan Gangguan daripada Mahkamah Syariah atau Interim Protection Order (IPO) (daripada Mahkamah Majistret). Lanjutan daripada itu juga biasanya akan berlaku pertikaian susulan seperti pengasingan pasangan, tuntutan perceraian, perebutan hak jagaan anak-anak dan sebagainya.” – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) / Musa Awang

 Sehubungan itu katanya, statistik berkenaan menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara beroperasi dan membenarkan firma Peguam Syarie beroperasi sepanjang PKP 3.0.

 

Katanya, Firma-firma guaman syariah (Peguam Syarie) bukan sahaja berperanan mewakili masyarakat membuat tuntutan di Mahkamah Syariah, malah mereka juga berperanan memberikan khidmat konsultasi kepada masyarakat awam yang mencari alternatif untuk meluahkan permasalahan dan tekanan perasaan akibat masalah perkahwinan yang berlarutan sebelum dan semasa PKP 3.0.

Sebahagian masyarakat awam telah melantik Peguam Syarie untuk membuat tuntutan mereka sebelum PKP 3.0. Disebabkan Mahkamah Syariah dan firma guaman Syariah tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP 3.0, maka tuntutan-tuntutan ini tidak dapat dibawa ke muka pengadilan. Tuntutan-tuntutan tersebut kadangkala perlu disegerakan atau ia berkaitan antara satu sama seperti keganasan rumah tangga, perceraian (cerai luar mahkamah, cerai Hakam, fasakh atau taklik), kes pembahagian harta pusaka (faraidh) akibat berlaku kematian disebabkan COVID-19 atau punca-punca lain, pelupusan harta si mati melalui perintah lelongan, harta sepencarian dan tuntutan keberhutangan dengan pihak bank, tuntutan yang melibatkan tempoh had masa dan sebagainya.

Tambah beliau, membenarkan Mahkamah Syariah dan firma-firma Peguam Syarie beroperasi semasa PKP 3.0 juga dapat mengelakkan tanggapan negatif masyarakat awam khususnya orang Islam terhadap institusi agama di negara ini, terutama golongan wanita yang kebanyakannya menjadi mangsa sepanjang tempoh PKP, yang merasakan nasib mereka tidak terbela apabila Pejabat Agama Islam tidak beroperasi, dan Mahkamah Syariah juga tidak beroperasi.

Sementara itu, operasi Mahkamah Syariah yang tidak semestinya dijalankan secara fizikal sepenuhnya, juga boleh dibuat secara dalam talian (online) tanpa melibatkan perjumpaan fizikal. Peguam Syarie juga boleh berurusan dengan Mahkamah Syariah secara atas talian untuk prosiding sebutan atau pendengaran kes-kes tertentu.

Majoriti Peguam Syarie, katanya adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja. Mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewabeli kenderaan, pinjaman peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan.

Dalam tempoh PKP, perbelanjaan operasi firma Peguam Syarie masih perlu dijelaskan seperti sewa pejabat, bil elektrik, unifi pejabat, gaji peguam, gaji pekerja, caruman KWSP Pekerja dan sebagainya. Kebanyakan firma guaman syariah menyewa di premis milik individu atau syarikat tertentu yang tidak mendapat pengecualian atau penangguhan bayaran sewa sepertimana di premis milik kerajaan atau milik badan kerajaan. Majikan terpaksa menanggung bayaran gaji peguam atau gaji kakitangan walaupun Mahkamah Syariah tidak beroperasi dan kes-kes tidak berjalan seperti biasa.

Sekiranya operasi firma-firma Peguam Syarie tidak dibenarkan, risiko untuk pemberhentian pekerja atau menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan adalah tinggi kerana seorang majikan tidak akan mampu untuk menanggungnya lebih daripada tempoh tersebut, disebabkan tiada pendapatan (income) diperolehi di sepanjang tempoh PKP.

Sebagai sebuah Persatuan yang menaungi lebih 4,500 orang Peguam Syarie di negara ini, kami amat prihatin dengan keadaan yang menimpa ahli-ahli Persatuan dan keseluruhan Peguam Syarie di negara ini, termasuk rungutan daripada masyarakat awam berhubung penangguhan prosiding kes.” – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) / Musa Awang

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button