Zakat merupakan salah satu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam. Membayar zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang layak. Di Malaysia pusat zakat adalah pihak yang bertanggungjawab untuk mengutip zakat dan mengagihkannya kepada asnaf yang layak. Persoalannya siapakah gologan yang termasuk dalam golongan asnaf ini. Di dalam Al-quran Allah S.W.T berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 60:
اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغَارِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ
وَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
1. Fakir (al Fuqara)
Golongan yang tiada pendapatan yang mencukupi untuk untuk keperluan dirinya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
2. Miskin (al-Masakin)
Golongan yang mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mendapatkan pendapatan tetapi masih tidak mencukupi.
3. Amil
Orang yang dilantik untuk memungut dan mengagihkan wang zakat.
4. Muallaf
Seseorang yang baru memeluk agama Islam.
5. Riqab
Seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.
6. Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum Syarak.
7. Fisabilillah
Orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.
8. Ibnu Sabil
Musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya.
Kesimpulannya, zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial di dalam golongan yang memerlukan bantuan serta golongan asnaf yang layak. Zakat juga berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.