(28 Mac 1951) 71 tahun dahulu pada tarikh ini, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan Rang Undang-Undang mengenai dasar kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu.
Rang Undang-Undang ini adalah hasil daripada cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh Majlis Jawatankuasa Perhubungan Muhibah antara kaum juga merupakan pindaan kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, bagi Fasal mengenai kerakyatan.
Antara inti pati cadangan Rang Undang-Undang itu adalah:
- Semua rakyat Persekutuan Tanah Melayu adalah berhak ke atas perkara-perkara politik.
- Semua rakyat dari berbagai kaum di jamin hak asasinya mengamalkan adat istiadat masing-masing.
- Menjamin kedaulatan bangsa dan budaya Melayu sebagai teras kerakyatan dan kebangsaan dan dalam pada itu, rakyat Persekutuan adalah diwajibkan taat setia kepada Raja Pemerintahnya.
Antara syarat yang dikenakan terhadap warganegara British atau tanah jajahannya pula adalah:
- Berhak menjadi warganegara setelah mendaftarkan dirinya dan tidak meninggalkan Tanah Melayu selama 5 tahun.
- Seseorang perempuan warganegara British atau jajahannya yang berkahwin dengan warganegara Persekutuan hendaklah mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu untuk membolehkan ia menjadi rakyat Persekutuan.
- Seseorang warganegara British atau jajahannya yang ingin menukarkan kerakyatan asalnya kepada kerakyatan negara ini mestilah dapat menunjukkan bahawa ia telah melayakkan diri untuk diakui sebagai warganegara ini dengan berkelakuan baik, berbudi bahasa dan tinggal di negara ini selama 10 tahun dari 12 tahun sebelum membuat permohonan menjadi warganegara.
- Mesti mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Tujuan Rang Undang-Undang ini adalah untuk melahirkan satu rupa bangsa bagi Tanah Melayu serta untuk menjamin keadilan dan hak setiap rakyat negara ini.
BACA JUGA
Hari ulangtahun kemerdekaan Palestin, kini merdekakah mereka?