KepenggunaanKerohanianPendidikanSemasa

Hukum jual beli ‘cedok’ haram kerana ada unsur perjudian

Baru-baru ini, tular di media sosial TikTok berkenaan jual beli dilakukan secara live (siaran langsung) menggunakan cedok, yang mana penjual menjual barangan dengan meletakkan harga bagi satu cedokan menggunakan bekas seumpamanya.

Selepas itu, pembeli akan menerima sekadar apa yang dikaut atau dicedok oleh bekas itu.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak.

Antaranya adalah seperti gharar (ketidakpastian), maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:

  1. Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
  2. lafaz akad (lafaz ijabdan kabul)
  3. Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)

Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Pertama: Unsur gharar (Ketidakpastian)

Unsur ini wujud dalam transaksi ini apabila berlakunya ketidakpastian terhadap kadar, nilai dan juga jenis barangan yang diterima oleh pembeli sebaik sahaja penjual mencedok barangan yang bercampur tersebut. Dalam hal ini, berlaku ketidakpastian tentang apakah barang yang akan diperoleh semasa akad jual beli.

Kedua: Unsur maisir (Perjudian)

Imam al-Mawardi ada menyebut berkenaan takrifan judi iaitu suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan.

Maka, jika diperhatikan, transaksi jual beli ini ada mengandungi unsur perjudian di mana ada pihak yang untung dan ada pihak yang akan rugi. Sekiranya barangan yang dicedok tersebut nilainya lagi rendah daripada harga yang dibayar oleh pembeli, maka disini pembeli adalah pihak yang mengalami kerugian. Begitu juga sebaliknya.

Ketiga: Unsur menafikan hak khiyar pembeli

Ia boleh dilihat dari sudut pembeli tiada hak untuk memilih sesuatu barangan yang hendak dibelinya. Maka, perkara ini telah menafikan hak pembeli yang pada dasarnya bebas untuk memilih barangan.

Kesimpulannya di sini adalah jelas aktiviti jual beli cedok adalah haram di sisi syarak kerana terdapat unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.

Dinasihatkan peniaga untuk menggunakan kaedah jualan yang bebas dari unsur-unsur yang diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan yang diperoleh adalah halal.

Related Articles

Back to top button