Seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul hingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat, semalam, ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi, Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemui mati tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata kejadian berlaku sekitar pukul 5.15 petang dan selepas memukul mangsa, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal ke arah pantai.
“Mayat lelaki berkenaan telah diuruskan oleh pasukan forensik manakala kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di hospital.
“Kes kini sedang disiasat lanjut dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
— BERNAMA