DuniaSemasa

Masjid cetakan 3D pertama dunia siap dibina di Dubai 2025

DUBAI: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, percetakan 3D telah digunakan untuk membina pelbagai idea struktur projek termasuk rumah, bangunan, jambatan dan macam-macam lagi.

Terkini, Dubai pula merancang untuk membina masjid cetakan 3D pertama di dunia.

Ketua jurutera Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal Dubai (IACAD), Ali Mohammad Alhalyan Alsuwaidi berkata, struktur setinggi 2 tingkat yang meliputi 2,000 meter persegi itu boleh memuatkan kira-kira 600 jemaah.

Eng. Ali AlSuwaidi

“Ia akan dibina menggunakan campuran konkrit. Projek tersebut dijadualkan bermula menjelang akhir tahun ini dan dijangka siap pada suku pertama 2025,” ujarnya.

Menurutnya lagi, cetakan 3D dipilih kerana ia adalah teknologi baharu dan inovatif serta berpotensi menjimatkan masa dan sumber berbanding kaedah pembinaan tradisional.

Difahamkan, pembinaan struktur menggunakan pencetakan 3D memerlukan mesin pencetak besar yang diprogramkan dengan maklumat reka bentuk.

Sebahagian besar struktur cetakan 3D dihasilkan daripada konkrit, namun ia boleh mencetak menggunakan bahan lain seperti tanah liat.

Dubai juga berhasrat untuk menjadi ‘ibu kota cetakan 3D’ dunia.

Pada 2018, ia melancarkan ‘Strategi Pencetakan 3D’ yang merancang 25% pembinaan struktur baharu dihasilkan menggunakan teknologi tersebut menjelang 2030.

Kira-kira setahun selepas itu, ia mencipta rekod dunia apabila berjaya membina Majlis Perbandaran Dubai setinggi 9.5 meter di kawasan seluas 640 meter persegi menggunakan cetakan 3D.

Selain itu, bandar berkenaan turut membina pejabat cetakan 3D pertama di dunia dan makmal penyelidikan yang dibangunkan menggunakan teknologi sama.

Struktur cetakan 3D kini semakin berkembang di seluruh dunia seperti pusat penempatan pelarian di Jordan dan kemudahan untuk golongan gelandangan di Austin, Texas di Amerika Syarikat.

Theo Salet. Kredit foto slagkracht.visserensmitbouw.nl

Dekan Jabatan Alam Binaan di Eindhoven University of Technology di Belanda, Theo Salet turut menyokong langkah pemodenan industri pembinaan melalui teknologi seperti cetakan 3D.

“Reka bentuk dan pembinaan digital akan menjimatkan masa serta mengurangkan kos. Ia juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh dan pekerja mahir. Peralihan ini boleh menjadikan industri pembinaan lebih mampan,” jelasnya.

BACA JUGA
Masjid Bandar Seri Putra jadi lokasi Ramadan terakhir MAPIM Mobile Kitchen

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button