Menuntut ilmu adalah kewajiban setiap umat.
Oleh : Khai – Wartawan Pelatih Ummah Today
Ilmu dunia dan ilmu akhirat perlu dituntut mengikut perintah Allah SWT agar manusia dapat menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana reda terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Dan sekalian nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan besar.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Menuntut ilmu adaah sebahagian ibadah.
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang lima perkara sebelum tiba lima perkara. Baginda bersabda:
“Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)
Dalam menuntut ilmu, kita perlu ikhlas kerana Allah SWT dan berdoa agar ilmu yang diambil dapat membaiki diri serta menyebarkannya kepada orang lain.
Niat adalah adab yang paling agung dalam menuntut ilmu dalam masa sama dapat mengingatkan diri agar sentiasa ikhlas kerana Allah SWT.
Justeru, kita perlu perbetulkan diri untuk membertulkan niat dan bersifat ikhlas dalam melakukan sebarang amalan terutamanya dalam menuntut ilmu agar kita peroleh redha Allah SWT di dunia dan di akhirat.