Dua puluh sembilan Ramadan adalah tarikh keramat untuk Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman apabila disatukan kembali dengan keluarganya dari Gaza.
Nadir yang tidur malamnya tidak pernah tenang sejak 7 Oktober kerana keluarganya masih terperangkap di Gaza yang dibom israel, mengakui sangat terkejut dan berterima kasih kepada watak utama iaitu Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim yang menggerakkan ‘Misi Gila’ mengeluarkan keluarganya dari Gaza.
Menurut Nadir di Facebooknya, “Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.
Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kendaraannya memecut ke majlis seterusnya.”
Pada mulanya, Nadir berfikir mungkin sudah tidak ada harapan lagi, sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi oleh Setiausaha Politik PMX, Tuan Farhan Fauzi yang mengusahakan misi ini.
Menurutnya, Tuan Farhan sentiasa menghubunginya bertanya tentang keluarga dan perkembangan di Gaza, namun hari itu nada Tuan Farhan berbeza.
Tulis Nadir, “Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.”
Dalam tulisannya di Facebook, Anwar Ibrahim memberi penghargaan tidak terhingga kepada Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama yang diberikan.
Umum mengetahui, misi keluar dari Gaza adalah sangat mustahil pada ketika ini dan hanya akan berjaya melalui G2G atau government to government.