SemasaSyariah

Muzik, Konsert dan Islam…

Berhibur itu tidak salah selagi mana ia masih mengikut batas-batas syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.

Islam tidak melarang umatnya untuk bersuka ria dan berseronok.

Terdapat sebuah hadis berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W bernama Hanzalah RA yang merasa takut akan dirinya menjadi munafik, kerana kelalaiannya bersama keluarga, setelah beliau bermuhasabah bersama Rasulullah dalam satu majlis pada hari sebelumnnya.

Baginda Rasulullah S.A.W bersabda :

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

MaksudnyaWahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.

Sahih Muslim (2750)

Walau bagaimanapun, pada hari ini konsep hiburan itu sedikit demi sedikit terpesong daripada yang sepatutnya sehingga ada yang terus terleka dengan tidak mengingati Allah SWT.

Berdasarkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12 hingga 13 Mei 1981, menetapkan :

  • Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
  • Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
  • Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram.
  • Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Justeru itu, penganjuran konsert atau menghadiri upacara yang melibatkan orang ramai hendaklah berpaksikan kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Muzik itu seharusnya menjadikan jiwa kita lebih tenang dan bukannya yang membawa ke arah binasa.

Lagu-lagu pada masa kini, kebanyakannya disuntik dengan ayat-ayat lucah, maksiat, dadah dan banyak lagi elemen-elemen negatif.

Hal ini secara tidak langsung, menjatuhkan martabat muzik itu sendiri dan mempengaruhi individu untuk jauh daripada tuhan.

Seorang ahli falsafah terkenal Greek, Plato pernah mengungkapkan :

“…what should be the end of music if not the love of beauty?”

Maksudnya: Apakah lagi yang patut menjadi tujuan muzik, jika bukan kecintaan terhadap kecantikan?

Tuntasnya, para ulama terdahulu mahupun kontemporari sebulat suara memutuskan akan pengharaman muzik yang mengandungi unsur maksiat, pergaulan bebas dan tarian yang menghairahkan. Berbeza pula dengan muzik yang tidak mempunyai sebarang unsur sebegini.

Imam al-Syafi’e sewaktu bercakap tentang syair yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwainiy yang bermaksud :

Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia.” 

(Rujuk Nihayah al-Matlab, 19/24)

 

 

Related Articles

Back to top button