agamaSemasa

Nasihatlah Aku dengan Sabar

Oleh : Zuhaili

Sudah menjadi lumrah jika kita melakukan kesalahan ataupun perbuatan yang mengguris hati orang lain, kita layak untuk untuk ditegur. Jika seorang muslim melihat saudaranya melakukan kesalahan dan kesilapan maka dia harus menegur. Seperti firman Allah:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر

“Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan- pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:3)

Dalam Islam sendiri telah digariskan beberapa adab dalam menasihat untuk menegur agar yang ditegur tidak merasa malu dan dapat menerima teguran dengan hati yang lapang. Gunakanlah perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan serta berhati-hatilah dalam memilih perkataan yang sesuai agar kita tidak membuatkan orang lain merasa terhina dan rendah diri. Sampaikanlah nasihat dan teguran dengan fikiran yang rasional bukan dengan emosi yang tidak terkawal agar mengelakkan orang lain berkecil hati atas nasihat dan teguran yang diberikan.

Secara umumnya jika ikhlas mahu menegur, pilihlah teguran secara bersemuka dan gunakanlah perkataan yang baik tanpa mengeluarkan kata-kata yang buruk. Jangan menegur kesalahan orang, terutama yang lebih tua atau berpangkat didepan orang lain. Perbuatan itu seolah-olah membuka aib orang dan niat baik kita untuk menegur mudah disalah tafsir.

Sesetengah orang merasa berhak melakukan teguran kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana tanpa berfikir dengan kewarasan dan kematangan, sebaliknya dikuasai nafsu sehingga tidak lagi berupaya mempertahankan akhlak sebenar seorang Muslim. Oleh itu, marilah kita bermuhasabah agar mengembalikan semula tujuan sesuatu teguran dilakukan – memberikan manfaat kepada orang lain bukan mengundang api perbalahan dan permusuhan. Sedangkan permusuhan adalah perbuatan yang dibenci dan ditegah oleh agama sebagaimana hadis daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (Riwayat Muslim)

 

Related Articles

Back to top button