Penggunaan dalam urusan rasmi angkat Bahasa Melayu di persada antarabangsa
KUALA LUMPUR : Sebagai usaha untuk memartabatkan serta mengangkat semula Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa perhubungan antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob menegaskan agar Bahasa Melayu akan digunakan dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan juga persidangan.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan memaklumkan semua penjawat awam di dalam dan luar negara seharusnya menjadikan perkara itu sebagai sumber iltizam dengan menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris dalam tugasan mereka.
“Galakan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan surat menyurat di peringkat antarabangsa dalam Bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris telah disebut dalam Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhidatan Bilangan 9 Tahun 2011 bertajuk Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.
“Manakala Bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam Bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan bagi perjanjian peringkat antarabangsa.
“Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 dengan tajuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Menurut Awang Sariyan, sejak tahun 2000 pihak DBP dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia Malaysia (MABBIM) telah mengusulkan agar Bahasa Melayu berperanan sebagai Bahasa rasmi ASEAN dan berharap perkara itu boleh direalisasikan.
“Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam serta di sebahagian Thailand dan Kemboja, Bahasa Melayu juga difahami di negara ASEAN yang lain,” katanya.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA