Tidak ada rezeki jadi cikgu sekolah, pemuda ini nekad membuka kedai peralatan sekolah
Siri Inspirasi Ummah - Memilih berniaga seusia muda
Namanya Khair Zawawi, berasal dari Bukit Sentosa 2, Rawang. Berusia baru 25 tahun. Selepas menyelesaikan Diploma Matematik di UPSI, dia terus membantu ayah berniaga di kedai hardware milik sendiri selepas sekian lama ayahnya bekerja makan gaji.
Itulah pengalaman kerjanya yang pertama, dan itu jugalah kedai pertama ayahnya. Masing-masing dengan risiko sendiri. Setahun berkuli dengan ayah, Khair nekad membuka kedai peralatan sekolahnya sendiri dan melepaskan peluang menjadi guru sekolah. Dengan memilih tidak memohon melanjutkan pengajian ke ijazah sarjana muda kerana sebagai anak sulung dia ada tanggungjawab, dan situasi pada waktu itu tidak mengizinkan.
Dengan pengalaman yang sedikit tetapi nekad yang besar, kedai itu mula dikenali kawasan itu. Ada pelanggan tetap dan ada pelanggan baru. Kemudiannya datang pandemik covid. Bagaimana Khair bertahan? Inilah cerita Khair Zawawi.
Latar belakang
Lahir dalam keluarga yang membiasakan buku sebagai hadiah untuk anak-anak, membentuk Khair Zawawi menjadi orang yang hobinya membaca. Bacaan awalnya komik doremon Shin Chan, novel remaja keluaran KarnaDya dan PTS sebelum genre berkembang seiring usia.
Dengan kelulusan UPSR yang cemerlang, dia menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh yang terkenal. Di situ Khair tetap rajin membaca walaupun agak terkejut kerana pelajar lelaki tidak ramai yang begitu. Malah, Khair pernah diejek kerana bangga berkata mahu menjadi penulis.
Di sekolah, Khair juga sudah sering berniaga jajan. Jadi mentaliti berniaga sudah ada. Mentaliti tentang wang masuk dan keluar. Di universiti, atas galakan seorang penulis, Khair Zawawi mula menjual buku dengan menggunakan diskaun penulis itu.
Kemudiannya Khair melangkah lebih jauh lagi dengan menyertai dropship bookcafe.com.my atas galakan Tuan Hairul. Pelanggan semakin ramai dan untung semakin nampak. Nama juga semakin dikenal di kalangan peminat buku.
Memang untung tidak besar, tetapi dalam bisnes yang utama adalah semangat untuk meneruskan lebih-lebih lagi untuk pemula. Untung asalkan nampak. Kalau tidak nampak, maknanya rugi dan semangat boleh hilang. Itu yang Khair pegang pada awal-awal berniaga, untung besar ataupun kecil itu perkara nombor dua, yang utama untung mesti nampak. Kalau nampak, semangat akan semakin kuat untuk membuatkan ‘untung nampak’ tadi semakin jelas dan besar.
Hijau BookValley
Antara petikan yang Khair pegang sejak remaja adalah petikan daripada salah satu novel yang dia baca, berbunyi, ‘Jujur Untuk Berbeza’. Mungkin itu ungkapan yang pendek, itulah yang dia kenang sampai sekarang. Atas kerana itu, Kedai peralatan sekolahnya punya nama yang berbeza dan unik. Tetapi kedengaran jujur. Hijau Bookvalley.
Pada asalnya ia menjual buku-buku umum dan novel, namun bisnes buku bukan sesuatu yang mudah. Sedikit-sedikit bisnes buku dikurangkan kepada tempahan sahaja walaupun tetap ada cita-cita Khair yang besar pada masa hadapan untuk benar-benar menjadikan Hijau bookvalley sebuah kedai buku yang sebenar-benarnya kedai buku.
Kini bisnes asas Hijau Bookvalley adalah fotokopi, cetak, binding, laminated, dan jualan barangan sekolah (dan akan bertambah lagi). Pendapatannya bagus cuma ia bersifat bermusim. Sekiranya cuti sekolah dan seperti PKP sekarang, ia menjadi sangat mencabar.
Khair tidak putus asa, kini dia bercadang menambahkan lagi cabang bisnes Hijau Bookvalley. Dia mahu menjadikan Hijau BookValley sebagai sebuah markas kolektif.
Buat masa ini, rakannya Ummi Hasanah dan Aida dari Master Jalanan sudah bersetuju menjadi rakan kongsi menambah satu segmen produk kasut vintage dan bundle di kedai Hijau Bookvalley.
Malah, rakan dari zaman sekolah, Ahmad Syahidi dari Coper Capture juga sudahpun membantu mewujudkan bentuk-bentuk perkhidmatan baharu.
Cabaran sebelum dan semasa pandemik covid-19
Untuk terus bertahan, usahawan memang wajib tahu digital marketing. Paling tidak tahu siapa yang tahu. Upah orang yang tepat. Boleh buat iklan yang berkesan di media sosial. Harapkan offline sahaja, memang besar peluang perniagaan untuk terus ‘off’.
Kemudian setiap perniagaan perlu ada (standard operating procedure) SOP. SOP yang paling asas adalah meminta deposit sebelum memulakan apa-apa kerja.
Ramai yang tidak minta deposit sebab terlalu percayakan pelanggan, kononnya customer always right’. Itu hanya betul selepas kita ikut SOP, minta deposit. Sebelum dapat deposit, mereka belum pun jadi customer kita. Jadi bagaimana orang yang belum jadi customer kita boleh always right?
Itu pesan Khair. Perlu ada kemahiran digitalisasi dan ikut SOP. Tetapi, sebelum digitalisasi dan SOP, ilmu yang penting adalah kemanusian itu sendiri. Kerana pelanggan semuanya manusia. Faham mereka, insya-Allah mereka akan datang lagi. Faham manusia ini kritikal kerana dalam virus pandemik covid 19, ia ibarat jala penyelamat untuk para peniaga.
Semasa PKP pertama, ketika kedai tidak boleh dibuka, Khair mula mencuba menjual barangan dagangan lain secara online dan pelanggan kedai yang mengenalinya banyak membantu. Ada yang membeli ada yang membantu untuk promosi. Ini sedikit sebanyak memberi kelegaan walaupun sangat tipis.
Cara Khair memahami pelanggan-pelanggannya adalah unik. Apabila pelanggan bercerita atau berkongsi masalah, dia cuma diam dan dengar. Tidak sesekali menyampuk dan sekiranya pelanggan meminta nasihat barulah dia beri. Kemudian perlahan-lahan apabila sudah dapat rentak barulah berbual-bual. Ini yang terbaik. Namun, sekiranya belum dapat rentak, diam sahaja dulu.
Kata Khair, manusia memang ramai mahu kita dengar apa mereka kata. Kita sebagai ahli perniagaan pula bukan semua ada bakat memujuk. Tetapi kita semua ada bakat menahan diri daripada bercakap. Kita boleh diam. Tidak apa diam lama-lama dan tunjuk wajah empati, kerana akhirnya diam kita itu akan memberi duit.
Kurangkan bercakap atau hanya bersuara apabila perlu. Lebih banyak mendengar. Catatkan satu per satu isu yang diutarakan supaya sama-sama nampak apa masalahnya.
Kalau tidak boleh buat, terus cakap tidak boleh. Jangan panjangkan benda yang tidak penting dan tidak perlu. Jalan terus.
Walaupun ada juga pelanggan yang marah-marah, yang kadang menyakitkan hati, Khair tetap pegang prinsip itu. Dia ahli perniagaan, yang perlu adalah duit yang pelanggan beri. Marah-marah, perli, sindir, dia tolak tepi. Lagipun dalam sebulan mungkin hanya ada seorang pelanggan begitu. Mengapa hendak kisah.
Berkat sabar, Tuhan akan datangkan pula pelanggan-pelanggan yang baik hati, yang jenis tidak minta diskaun, yang menurut dan berpuas hati dengan servis kedai Khair. Ini jenis pelanggan yang ramai datang.
Itulah antara tips Khair Zawawi dalam menghadapi PKP. Selain kemahiran tadi, tetap Khair setiap hari kalau sempat dan rajin baca surah al-Waqiah dan al-Mulk selepas maghrib. Mak dan arwah Tok yang suruh amalkan.
Solat Dhuha buat setiap pagi, selain solat wajib lima waktu memang tak boleh tinggal. Kalau tertinggal cepat-cepat ganti dan bertaubat.
Pesan untuk anak muda
Berkulilah dahulu. Sekarang zaman mencabar dan tambah ilmu terlebih dahulu. Usahakan dapat gaji tetap setiap bulan sebab berniaga bukannya mudah dan tidak menentu.
Atau mungkin sekarang susah dapat pekerjaan. Namun, mahu mula berniaga. Mulakan dengan yang kecil dahulu sebelum ke peringkat yang lebih mencabar.
Jangan ingat baru mula hari ini, esok sudah dapat hasil seperti yang kita mahu. Bukan begitu. Yang penting ialah konsistensi atau usaha yang berterusan.
Sesekali mungkin akan rasa mahu mengalah, namun cuba cari sesuatu yang mampu buat kita bangkit semula. Mungkin pada awalnya, kiblat kita ialah mendapatkan wang yang banyak, namun perlahan-lahan mungkin tanam niat mahu bantu orang lain juga.
Yang akhir daripada Khair
Ada perniagaan sendiri, kelebihannya masa lebih fleksibel. Ini menjadikan Khair ada hobi baru seperti menonton band indie dan alternatif secara langsung di gig atau konsert. Masyarakat mungkin masih skeptikal dengan budaya kelompok muzik di gig, namun sebenarnya membuat Khair lebih terbuka untuk menerima perbezaan antara manusia.
Sekarang mungkin kurang membaca kerana sibuk dan pernat dengan kerja. Namun, sekali-sekala dia akan baca juga buku-buku yang tidak pernah habis diselak setiap kali beli di pesta-pesta buku sebelum ini. Kemudian, siapkan video ulasan buku untuk dimuat naik di YouTube.
Khair suka berkongsi perkara-perkara menarik seperti buku atau lagu kepada orang lain untuk dinikmati bersama, kerana benda bagus tidak elok simpan seorang.
Itu semua meluaskan lagi ‘pemasaran’ Hijau Bookvalley secara tidak langsung.
Hijau BookValley boleh dikunjungi di Jalan Seroja 1B, Bukit Sentosa 2, 48300 Rawang, Selangor. Menyediakan perkhidmatan fotokopi, cetak, binding, laminate dan pelbagai.
Follow Hijau bookvalley di Twitter, Instagram dan Facebook “@hijaubookvalley”.