EkonomiPendidikanSemasa

USM wujud inisiatif keusahawanan kepada staf Kumpulan B40

Bantu staf tambah pendapatan

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Jabatan Pendaftar mewujudkan inisiatif keusahawanan yang ditawarkan kepada staf daripada kumpulan B40 di semua kampus universiti berkenaan.

Pendaftar USM Dr Musa Ali berkata inisiatif bertujuan membantu staf universiti untuk menambah pendapatan lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 dan tekanan ekonomi di bandar.

“Peserta perlu membentangkan  kertas cadangan, kemudian kita menilai apa yang kurang daripada perancangan mereka. Selepas itu, kita akan membantu mereka daripada kekurangan tersebut sama ada dari segi modal, kemahiran pemasaran, ruang untuk memulakan perniagaan dan sebagainya.

“Pemberian modal akan dilakukan secara sekali bayar dan bukannya berbentuk pinjaman. Namun begitu, para peserta boleh memohon pinjaman mikro kredit sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita selepas majlis khas penyerahan surat tawaran kepada 22 staf yang terpilih dalam fasa pertama projek itu, di Pulau Pinang hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Dr. Musa berkata antara bidang keusahawanan yang diceburi oleh staf terpilih adalah penternakan ikan keli, penternakan lebah bagi menghasilkan madu kelulut, ternakan tiram, penghasilan produk daging pekasam, penanaman padi dan sebagainya.

Menurutnya, para peserta akan diberikan latihan, kursus dan akan dipantau secara berkala oleh pakar dari Pusat Pengajian Biologi, Pusat Pengajian Pengurusan, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Pusat Pemindahan Ilmu (KTC) dan Pusat Pembangunan HEBAT (HDC) untuk membantu peserta memperluaskan perniagaan mereka.

Seorang penerima inisiatif, Muhamad Fadhli Musa, 38, staf dari kampus Kejuruteraan Biologi, Nibong Tebal berkata beliau bersyukur kerana selain diberikan peluang untuk menjana pendapatan, beliau juga dapat memperoleh ilmu dalam bidang ternakan ikan.

Muhamad Fadhli yang memilih menjalankan ternakan ikan keli sebagai sumber pendapatan sampingan menjangkakan dapat memperoleh pendapatan kasar RM10,000 dalam tempoh empat bulan.

“Buat permulaan, USM membenarkan saya menggunakan tapak penternakan di ruang Pusat Pengajian Biologi bersebelahan dengan Kompleks Penyelidikan Akuatik USM, di sini untuk menternak benih,” katanya yang bercita-cita memilki kolam ikan sendiri.

— BERNAMA

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button