
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ketika raptai penuh sambutan ‘Hari Kebangsaan 2022’ pagi tadi berkata jumlah peserta bagi acara perbarisan dan perarakan pada Rabu akan datang kini meningkat kepada hampir 20,000 orang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 menjelaskan, jumlah itu meningkat berbanding hampir 16,000 peserta sebelum ini, bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak yang ingin menyertai sambutan hari bersejarah itu di lokasi utama di Dataran Merdeka.
“Nampaknya sambutan luar biasa, memang jelas. Malah bilangan peserta dan aset ini adalah terbesar pernah kita lakukan termasuk sambutan orang ramai di semua peringkat termasuk kerajaan negeri, penguat kuasa tempatan malah komuniti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai penuh acara perbarisan dan perarakan itu yang bermula seawal 6:30 pagi hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyaksikan acara perbarisan dan perarakan itu hadir lebih awal sebelum 7:30 pagi bagi mengelakkan kesesakan susulan beberapa jalan raya ditutup.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kontinjen yang telah mengadakan latihan dan para peserta yang menunjukkan pertunjukan yang baik termasuk artis, atlet dan sebagainya.”
Hari Kebangsaan 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut Rabu ini di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 selepas dua tahun negara tidak mengadakan sambutan berkenaan secara besar-besaran berikutan Covid-19.