61 pelajar Malaysia terkandas di Jakarta dijadual pulang malam ini

Seramai 61 pelajar Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, dijadual pulang ke tanah air malam ini pada jam 7.55 waktu tempatan.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengambil tindakan segera bagi menjaga kebajikan pelajar terbabit dengan bantuan ejen pelancongan tempatan.

“Kedutaan telah membantu memastikan kebajikan pelajar-pelajar ini terjamin sepanjang mereka berada di sini. Kita berharap perkara sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ejen pelancongan yang bersetuju membantu pelajar sepanjang empat hari program lawatan mereka di Jakarta. Syed Mohamad Hasrin juga berharap agar segala urusan antara ejen pelancongan tempatan, penganjur program, dan pihak berkaitan dapat diselesaikan secara baik, termasuk isu pembayaran dan logistik.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan bahawa kumpulan pelajar berkenaan — terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Taman Selasih dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar dari Selangor — terkandas lebih tiga jam di lapangan terbang tersebut akibat masalah pengangkutan dan penginapan.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang waktu tempatan sebaik kumpulan itu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menghadiri program lawatan pendidikan di Indonesia.

Sumber: Bernama

Exit mobile version