Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat PKR Svay Rieng FC dari Kemboja 2-2 pada perlawanan ketiga Kumpulan B Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN (ACC) 2025/2026 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh malam ini.
Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan oleh gol pembukaan tuan rumah melalui rembatan kencang pemain tengah Cristian Silveira pada minit ke-29. PKR Svay Rieng kemudian menggandakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi Nhean Sosidan yang menyempurnakan hantaran Kwame Peprah dari sebelah kiri.
JDT menunjukkan semangat juang tinggi apabila Shane Lowry menyempurnakan tandukan dari hantaran lintang Heberty Fernandes pada minit ke-90+2, diikuti La’Vere Corbin-Ong yang menyamakan kedudukan pada minit ke-90+6, memastikan satu mata diperoleh dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.
JDT kini mengungguli Kumpulan B dengan tujuh mata, diikuti wakil Vietnam Nam Dinh (enam mata) dan PKR Svay Rieng (empat mata). Dua perlawanan pertama JDT masing-masing menewaskan Lion City Sailors 3-1 dan Bangkok United 4-0. Seterusnya, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu dijadualkan menentang Shan United dari Myanmar di Stadium Sultan Ibrahim pada Januari depan.
Sumber: Bernama