
Ahli Parlimen British, Zarah Sultana, menyifatkan keputusan Israel menghalangnya daripada memasuki negara itu sebagai satu “lencana penghormatan”, sambil berikrar untuk terus bersuara mengenai isu Palestin.
Sultana merupakan antara 11 penggubal undang-undang British yang dikenakan larangan memasuki Israel, susulan tindakan kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan sekatan perdagangan terhadap penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam satu kenyataan di platform X, Sultana berkata larangan berkenaan tidak akan menghalangnya daripada meneruskan perjuangan politiknya.
“Jika ada, larangan ini hanya menguatkan tekad saya untuk terus bersuara,” katanya.
Ahli Parlimen Your Party bagi Coventry South itu turut mengkritik dasar kerajaan UK terhadap Israel, dengan mendakwa London masih meneruskan hubungan perdagangan dan kerjasama dengan Israel walaupun berdepan tuduhan berkaitan tindakan ketenteraan di Gaza.
Sultana berkata beliau berharap suatu hari nanti dapat mengunjungi Baitulmaqdis dalam keadaan rakyat Palestin menikmati kebebasan dan kesaksamaan.
“Saya berharap dapat melawat Baitulmaqdis bukan sebagai sebuah bandar yang diduduki, tetapi sebagai sebahagian daripada Palestin yang bebas dan merdeka,” katanya.
Corbyn turut dilarang
Antara 11 ahli Parlimen yang dikenakan larangan itu ialah bekas pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, selain Naz Shah, Diane Abbott, John McDonnell, Richard Burgon, Hannah Spencer, Carla Denyer, Sian Berry, Ellie Chowns dan Adrian Ramsay.
Corbyn berkata beliau telah beberapa kali mengunjungi Palestin dan mendakwa pernah menyaksikan kesan pendudukan Israel serta ketabahan rakyat Palestin.
“Pembunuhan beramai-ramai Israel tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman,” katanya dalam satu kenyataan di X.
Beliau turut menegaskan akan terus menyuarakan sokongan terhadap keamanan, kebebasan dan keadilan untuk rakyat Palestin.
Sementara itu, Naz Shah berkata beliau tidak mengetahui bagaimana senarai ahli Parlimen yang dilarang itu disusun dan menyifatkannya sebagai kelihatan rawak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya bahawa kerajaan UK perlu mengambil tindakan terhadap perdagangan dengan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
UK umum pendekatan baharu terhadap Israel
Larangan terhadap ahli Parlimen British itu berlaku selepas kerajaan UK mengumumkan pendekatan baharu terhadap Israel.
Menteri Kabinet UK, Ed Miliband, berkata langkah berkenaan menandakan “permulaan pendekatan baharu” kerajaan British terhadap Israel.
Antara langkah yang diumumkan ialah pengenalan larangan import terhadap barangan dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Perkembangan itu berlaku ketika tekanan antarabangsa terhadap Israel berkaitan dasar penempatan dan konflik Gaza terus meningkat.
Sumber: TRT World & agensi