
Memastikan kepincangan pengurusan di Lembaga Tabung Haji (TH) tidak berulang menjadi fokus utama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang lebih 10 jam bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi institusi berkenaan.
Ahli-ahli Parlimen menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab serta penambahbaikan menyeluruh dilaksanakan, termasuk menyegerakan pindaan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], memperkukuh pengawasan pelaburan, dan memastikan kepimpinan TH bebas daripada campur tangan politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menjelaskan bahawa pelaksanaan pelan pemulihan sejak 2018 telah membantu mengukuhkan kedudukan kewangan TH dan mempertahankan kadar kos haji pada RM33,300 bagi tiga musim berturut-turut (2024–2026). Beliau turut mengesahkan bahawa pihak berkuasa telah memulakan siasatan yang membawa kepada penahanan beberapa individuerkait dakwaan salah guna kuasa dan suapan.
Dalam perbahasan sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memperincikan kerugian hampir RM13 bilion membabitkan 14 pelaburan bermasalah. Ini termasuk kerugian RM1.5 bilion menerusi projek pemajakan hotel di Makkah dan Madinah yang menyaksikan rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1 bilion pada 2024. Kerajaan turut menyambut baik cadangan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat pelaburan berisiko secara telus.
Sesi yang dibahaskan oleh 39 Ahli Parlimen itu turut diwarnai tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar Dewan, yang disifatkan sebagai kegagalan memainkan peranan semak dan imbang terhadap amanah lebih 10 juta pendeposit TH.
Sumber: Bernama