
Skuad badminton lelaki negara membuka langkah bergaya dalam acara berpasukan Sukan Asia Aichi–Nagoya 2026 selepas mudah menumpaskan Mongolia 3-0 pada pusingan pertama di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.
Kemenangan cemerlang itu membolehkan Malaysia mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir untuk berdepan cabaran getir menentang pilihan utama kejohanan, Indonesia.
Pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, menyumbangkan mata pertama buat negara selepas menundukkan Batdavaa Munkhbat 21-13, 21-12. Kem negara terus kukuh apabila gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan pasangan Bishrelt-Erdene Odbayar-Battugs Bayarsaikhan 21-5, 21-5.
Justin Hoh kemudiannya mengesahkan kemenangan mutlak 3-0 buat Malaysia menerusi kemenangan mudah 21-7, 21-5 ke atas Gerelsukh Jargalsaikhan dalam acara perseorangan kedua.
Medan Sebenar Menentang Indonesia
Ujian sebenar kini menanti skuad negara apabila dijadualkan menentang pasukan gergasi Indonesia pada peringkat suku akhir.
Mengulas mengenai persediaan pasukan, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, menjelaskan bahawa perlawanan menentang Mongolia memberi ruang penting buat para pemain menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan suasana gelanggang.
“Kita harapkan menerusi perlawanan dengan Mongolia, sekurang-kurangnya kita sudah cuba keadaan venue ini. Semoga pemain boleh ambil pengalaman ini sebagai satu kelebihan,” kata Rexy.
Beliau turut mengingatkan para pemain agar tidak terlalu tertekan dengan status Indonesia sebagai pilihan utama, sebaliknya perlu kekal fokus bagi menghadapi kesemua lima perlawanan yang dipertandingkan.
Sumber: BERNAMA