
Sejak penubuhannya pada tahun 1961, Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus memperkasa komitmennya dalam mempromosikan gaya hidup seimbang buat rakyat Malaysia berteraskan falsafah korporatnya, “Makan Sihat, Hidup Sihat”.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, AMB menjelaskan bahawa visi syarikat untuk membawa kebahagiaan dan menginspirasi kreativiti makanan dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif yang memudahkan penyediaan hidangan harian yang lazat lagi berkhasiat. Dengan memanfaatkan kepakaran global Kumpulan Ajinomoto dalam bidang AminoScience, syarikat tersebut berjaya menghasilkan rasa yang meningkatkan kelazatan makanan sambil menyokong keperluan pemakanan sihat.
Antara inisiatif utama yang diperkenalkan adalah pendedahan mengenai konsep Smart Salt menggunakan penambah perasa AJI-NO-MOTO®, yang membolehkan pengguna mengurangkan pengambilan garam tanpa menjejaskan rasa, serta penganjuran program hidangan seimbang untuk masyarakat.
Selain inovasi produk, AMB turut mengekalkan statusnya sebagai penanda aras kecemerlangan industri makanan halal. Sebagai syarikat Jepun pertama yang memperoleh pensijilan halal pada tahun 1965, kepakaran AMB kini telah berkembang melangkaui sempadan ke 36 buah negara, terutamanya di rantau Timur Tengah dengan pengalaman melebihi 40 tahun.
Usaha berterusan ini adalah selaras dengan Visi 2030 Kumpulan Ajinomoto yang menyasarkan pengurangan impak alam sekitar sebanyak 50 peratus serta memanjangkan jangka hayat sihat satu bilion penduduk dunia. Di peringkat tempatan, AMB melaksanakan pelbagai program kemampanan dan kemasyarakatan termasuk Projek Smart Salt, Kempen Sahur Seri-Aji®, kerjasama dengan atlet kebangsaan melalui The Ajinomoto Malaysia VICTORY PROJECT, serta program pendidikan Science Castle Collaboration.
AMB menegaskan bahawa gaya hidup sihat tidak semestinya rumit atau membataskan. Melalui solusi rasa dan produk halal yang diyakini, syarikat kekal komited membantu rakyat Malaysia menikmati hidangan yang lazat, berkhasiat, dan bermakna setiap hari demi kesejahteraan jangka panjang.
SUMBER: BERNAMA