Aktivis Israel Berhimpun Tuntut Pembebasan Dr. Hussam Abu Safiya, Desak AS Henti Bantuan Ketenteraan

Sekumpulan aktivis Israel telah mengadakan perhimpunan aman di luar kompleks diplomatik Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis Barat bagi menuntut pembebasan Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, Dr. Hussam Abu Safiya, yang kini ditahan oleh pihak berkuasa rejim.

Protes yang dianjurkan oleh kumpulan anti-penjajahan Israel, Free Jerusalem, itu turut menggesa pentadbiran Washington menghentikan serta-merta sebarang bantuan dan bekalan senjata kepada Israel, di samping mendesak serangan ketenteraan di Gaza dan penderaan terhadap tahanan Palestin ditamatkan.

Peserta perhimpunan dilihat membawa sepanduk, memukul gendang, dan melaungkan slogan mendoakan keselamatan Dr. Abu Safiya serta mengutuk tindakan penyeksaan ke atas tahanan Palestin.

Salah seorang penunjuk perasaan, Louis Frankenthal, menyifatkan penahanan Dr. Abu Safiya sebagai satu tindakan yang tidak sah dari segi undang-undang.

“Mesej kami jelas: hentikan penyeksaan, hentikan pembunuhan beramai-ramai, dan hentikan perang ke atas rakyat Palestin dengan serta-merta. Dr. Abu Safiya kini dikurung dalam keadaan yang mengancam nyawa, dipukul, dan dinafikan hak mendapat makanan yang cukup,” katanya kepada agensi berita Anadolu.

Ditahan Di Bawah Akta Pejuang Haram

Dr. Abu Safiya ditahan oleh pasukan tentera Israel pada 27 Disember 2024 berikutan serbuan ke atas Hospital Kamal Adwan, di mana kakitangan perubatan dan pesakit dipaksa mengosongkan kemudahan tersebut sebelum ia dimusnahkan.

Pihak berkuasa Israel memenjarakan beliau di bawah Undang-undang Pejuang Haram (Unlawful Combatants Law). Peguam beliau, Nasser Odeh, telah memfailkan rayuan di Mahkamah Agung Israel bagi memohon pembebasan doktor berkenaan.

Odeh mendedahkan bahawa ketika sesi pertemuan guaman baru-baru ini, Dr. Abu Safiya kelihatan digari di tangan dan kaki di bawah kawalan ketat. Beliau turut mengalami kesakitan teruk di bahagian belakang dan leher akibat dipukul semasa proses pemindahan ke Penjara Negev, selain dinafikan rawatan perubatan serta bekalan makanan dan air yang sempurna.

Menurut badan hak asasi manusia, dianggarkan 9,500 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak kini dikurung di dalam penjara-penjara Israel. Majoriti daripada mereka berdepan kebuluran, penyeksaan, serta pengabaian perubatan teruk yang telah mengakibatkan kematian puluhan tahanan.

Anadolu & Agensi

Exit mobile version