
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri itu akan diadakan pada tahun ini. Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut masih lagi berada di peringkat pertimbangan.
Aminuddin, yang juga merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, memaklumkan bahawa antara perkara yang sedang diteliti termasuklah kemungkinan untuk melaksanakan PRN tersebut secara serentak dengan negeri jiran, iaitu Melaka dan Johor.
“Kemungkinan itu ada… dalam parti politik ini, mungkin tahun ini atau tahun depan. Insya-Allah, kita tengok negeri jiran (Melaka dan Johor) bila pilihan raya (dan) mungkin kita sekalikan. Itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
DUN Terbubar Sendiri 24 Oktober Jika Tiada Sidang
Mengulas mengenai penganjuran sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, Aminuddin menyatakan bahawa kerajaan negeri sedang giat meneliti tarikh yang sesuai. Langkah ini penting memandangkan tempoh semasa bagi DUN Negeri Sembilan hanya berbaki sehingga 24 Oktober sahaja.
“Jika tidak diadakan (sehingga tarikh itu) DUN akan terbubar dengan sendirinya,” jelas beliau.
Status Kerjasama PH-BN Tertakluk Kepada Pusat
Apabila ditanya mengenai desas-desus sama ada PH Negeri Sembilan akan bergerak solo tanpa penglibatan Barisan Nasional (BN) dalam PRN akan datang, Aminuddin menegaskan bahawa keputusan akhir adalah tertakluk kepada ketetapan pimpinan pusat.
Beliau tidak menafikan wujudnya pandangan kuat daripada peringkat akar umbi yang mahukan PH negeri bergerak secara bersendirian. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa landskap politik semasa sentiasa dinamik dan hubungan antara parti tidak mustahil untuk kembali bertaut pada masa hadapan.
Sebagai rekod, pada PRN ke-15 yang lalu, komposisi kemenangan kerusi di Negeri Sembilan menyaksikan BN menguasai 14 kerusi, PH (17 kerusi), manakala Perikatan Nasional (PN) sekadar memperoleh lima kerusi.
Rombakan Portfolio Exco: Aminuddin Pangku Tiga Jawatan
Dalam perkembangan sama, Aminuddin turut mengumumkan rombokan pentadbiran dengan memaklumkan beliau kini terpaksa memangku tiga portfolio utama Jawatankuasa Bertindak negeri. Langkah ini diambil susulan berlakunya kekosongan jawatan Exco yang sebelum ini diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada komponen BN.
Tiga portfolio yang dipangku oleh Menteri Besar ialah:
-
Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi.
-
Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
-
Pendidikan.
Sementara itu, baki portfolio Exco lain yang turut ditinggalkan oleh wakil BN kini dipangku oleh barisan Exco sedia ada:
-
Pembangunan Belia dan Sukan: Dipangku oleh Nicole Tan.
-
Warisan dan Teknologi: Dipangku oleh Datuk Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim.
-
Inovasi dan Digital: Dipangku oleh J. Arul Kumar.
Krisis pentadbiran ini tercetus selepas 14 ADUN daripada BN dilaporkan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin, sekali gus mengakibatkan kekosongan empat jawatan Exco yang sebelum ini disandang oleh parti berkenaan. — BERNAMA