Anwar diraikan dengan sambutan luar biasa apabila Perdana Menteri Ethiopia sendiri memandu kenderaan rasmi

Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali memberi sambutan yang dianggap paling unik kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus ketibaannya di Addis Ababa, apabila beliau sendiri memandu kenderaan rasmi membawa tetamu negara itu mengelilingi kota pada hari pertama lawatan rasmi.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Abiy menyambut sendiri Anwar dan delegasinya sebelum mengiringi beliau ke Leaders Lounge untuk sesi pertemuan ringkas. Tanpa protokol biasa yang lazimnya dilakukan oleh pasukan keselamatan atau pemandu rasmi, Abiy kemudian mengambil tempat di kerusi pemandu untuk membawa Anwar ke destinasi pertama, iaitu Muzium Sains Ethiopia.

Lawatan ke muzium berkenaan yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang menampilkan kepada Anwar gambaran perkembangan teknologi dan inovasi Ethiopia, yang kini sedang pesat membina infrastruktur moden. Anwar turut dibawa ke Friendship Park, destinasi popular dalam kalangan warga tempatan dan pelancong kerana landskap hijaunya yang terpelihara.

Abiy menyempurnakan acara lawatan hari pertama dengan membawa Anwar ke Hotel Sheraton Addis, di mana delegasi Malaysia ditempatkan sepanjang kunjungan tiga hari itu.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Dr Abiy Ahmed Ali ke Muzium Sains Ethiopia dan Friendship Park semasa lawatan kerja ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. Kredit foto FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Dalam kenyataan di platform X, Abiy menyifatkan kehadiran Anwar sebagai bukti persahabatan yang semakin kukuh antara Ethiopia dan Malaysia, khususnya pada detik penting ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1965. Lawatan ini juga menjadi simbol pengukuhan hubungan dua hala berikutan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025, setelah ditutup selama 42 tahun.

Ketibaan Anwar turut disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar. Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Lawatan ini adalah yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke Ethiopia dan merupakan lawatan balas kepada kunjungan rasmi Abiy ke Malaysia pada Oktober tahun lalu. Ia juga membawa matlamat yang lebih besar, iaitu memperkukuh kerjasama Malaysia dengan Kesatuan Afrika, organisasi yang dianggotai 55 negara dan menjadi suara utama benua Afrika di peringkat global.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version