Anwar Gesa PBB Laksana Pembaharuan Berani, Mansuh Kuasa Veto di Sidang Kemuncak ASEAN-PBB

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar melaksanakan pembaharuan yang lebih berani, termasuk memansuhkan kuasa veto yang sekian lama menghalang Majlis Keselamatan badan dunia daripada bertindak dengan adil dan berkesan.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-16 di Manila, Filipina, Anwar menegaskan bahawa struktur semasa Majlis Keselamatan PBB memerlukan rombakan menyeluruh bagi memastikan badan dunia itu kekal relevan serta mampu menangani krisis kemanusiaan dan konflik global tanpa dibelenggu oleh kepentingan kuasa-kuasa besar.

Beliau turut menggariskan kepentingan menterjemahkan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030 kepada hasil yang nyata, khususnya dalam aspek peralihan hijau dan digital, daya tahan iklim, serta pembangunan mampan.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar menekankan bahawa blok ASEAN mesti terus mempertahankan prinsip Kepusatan ASEAN serta keluhuran undang-undang antarabangsa dalam mendepani persaingan geopolitik yang semakin mencabar.

Menyentuh mengenai konflik di Asia Barat, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan, pemindahan paksa, serta kebuluran yang menimpa rakyat Palestin.

“Kita menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan terhadap petugas kemanusiaan serta keanggotaan penuh Palestin dalam PBB,” ujar beliau.

Sementara itu, semasa berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Perdana Menteri turut menekankan keperluan memperkukuh sistem multilateralisme, menghormati perundangan antarabangsa, dan meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan siber serta risiko kecerdasan buatan (AI).

Beliau menyatakan bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia yang memasuki tahun kelima menjadi landasan penting untuk membawa hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi melalui kerjasama yang konkrit, seimbang, dan berpaksikan kepentingan bersama. Malaysia turut melihat ruang yang luas untuk memperluas kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, keselamatan tenaga, peralihan iklim, serta transformasi digital.

Selain itu, usaha membina rantaian bekalan dan nilai serantau yang lebih berdaya tahan — terutamanya dalam sektor mineral kritikal — perlu diberi keutamaan melalui pemindahan teknologi, pelaburan, dan pembangunan kepakaran agar manfaat kemakmuran dikongsi secara saksama.

Malaysia turut menyatakan kebimbangan terhadap konflik Asia Barat yang semakin meruncing termasuk serangan ke atas Arab Saudi, serta menggesa agar usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan dan menangani punca sebenar konflik terbabit.

Untuk rekod, Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 November di bawah kepengerusian Filipina yang mengangkat tema “Navigating Our Future, Together”.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

↑
Exit mobile version