
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia bagi edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) di Jordan.
Kedudukan baharu itu menunjukkan peningkatan berbanding tangga ke-15 pada tahun 2025 dan dianggap sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Anwar serta peranan Malaysia di peringkat global.
Dalam senarai 50 tokoh Muslim paling berpengaruh itu, Anwar berada sebaris dengan beberapa pemimpin utama dunia Islam termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud di tangga kelapan, dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di tempat ke-15.
RISSC turut menempatkan Anwar di tangga ketujuh bagi kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh dunia, meningkat daripada tempat kesembilan tahun sebelumnya. Beliau berada di hadapan Prabowo yang berada di tangga ke-10 dan Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi di tangga ke-13.
Penilaian RISSC mengambil kira tahap pengaruh tokoh Muslim dalam membawa perubahan ketara kepada dunia Islam sama ada dari segi budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang lain, dengan kesan yang dilihat dari perspektif positif atau negatif.
Penerbitan tersebut turut menyorot peranan aktif Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja serta komitmennya yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin menentang penindasan Israel. Ia menyebut bahawa Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai pengantara keamanan di rantau Asia Tenggara.
Laporan itu juga menyinggung insiden di mana Anwar menerima kritikan daripada Amerika Syarikat selepas bertemu dengan pegawai Hamas termasuk pemimpinnya, Ismail Haniyeh, yang kemudian terbunuh. Catatan takziah beliau di media sosial terhadap kematian Haniyeh telah dipadam oleh platform Meta, mendorong Anwar menegur syarikat itu agar “berhenti bertindak sebagai alat rejim Zionis Israel yang menindas.”
Sumber: Bernama