Anwar, Luxon Bincang Pengukuhan Hubungan Dua Hala Malaysia-New Zealand

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon, bagi membincangkan perkembangan hubungan dua hala serta usaha memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau, Anwar memaklumkan bahawa pertemuan tersebut berlangsung di bawah kerangka Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026, yang turut menyaksikan kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau, termasuk hasil Sidang Kemuncak ASEAN di Manila yang baru sahaja selesai.

Beliau turut berkongsi bahawa Luxon telah menyampaikan jemputan rasmi kepadanya untuk mengadakan lawatan ke New Zealand, negara yang turut dikenali sebagai ‘Negeri Kiwi’.

“Menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-New Zealand pada tahun 2027, saya berharap persahabatan yang telah terpatri sekian lama ini akan terus membuka ruang kerjasama baharu yang pastinya membawa manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Untuk rekod, eksport utama Malaysia ke New Zealand terdiri daripada produk petroleum, produk perkilangan berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik (E&E), manakala New Zealand pula merupakan pembekal utama makanan diproses, khususnya produk tenusu, serta pelbagai produk pertanian lain ke pasaran Malaysia.

Pada tahun 2025, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand direkodkan bernilai RM9.90 bilion (AS$2.31 bilion).

Sumber: BERNAMA

↑
Exit mobile version