
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terpaksa menelan pahit apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang berlangsung di Ningbo, China, hari ini.
Gandingan yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan itu tumpas kepada pasangan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-nga. Dalam aksi sengit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo itu, Sze Fei-Izzuddin kalah dalam pertarungan tiga set 22-24, 21-18 dan 11-21.
Nasib malang turut menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang tewas kepada gandingan tuan rumah, He Ji Tang-Ren Xiang Yu, dengan keputusan straight set 18-21, 18-21.
Skuad Wanita Ceriakan Kem Negara
Di sebalik kekecewaan kem lelaki, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, berjaya mengesahkan slot ke pusingan kedua. Mereka tidak berdepan masalah menewaskan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying, 21-14, 21-11. Pearly-Thinaah dijadualkan bertemu pasangan Taiwan, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun, pada pusingan seterusnya.
Turut cemerlang adalah pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, yang mara selepas menumpaskan wakil India, Tanvi Sharma, 21-19, 21-14. Letshanaa bakal berdepan ujian getir menentang pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin, yang sebelum itu mencipta kejutan menumbangkan pilihan kelima dari China, Han Yue.
Bagaimanapun, perjalanan seorang lagi pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, terhenti di pusingan pertama selepas dikecewakan pemain muda Jepun, Tomoka Miyazaki, 12-21, 15-21.
— BERNAMA