Bangkit Dari Runtuhan: Dua Beradik Remaja Gaza Rangkul ‘The Earth Prize’, Inovasi Tukar Sisa Perang Jadi Bata Binaan

Di tengah-tengah keperitan perang genosid yang melanda Semenanjung Gaza, dua beradik perempuan warga Palestin membuktikan bahawa harapan boleh dibina semula daripada sisa kemusnahan. Tala Mousa, 17, dan adiknya, Farah Mousa, 15, telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Bumi (The Earth Prize) bagi rantau Timur Tengah menerusi projek inovatif mereka yang dinamakan ‘Membina Harapan–Palestin’ (Building Hope–Palestine).

Projek tersebut, yang berjaya menewaskan ribuan penyertaan dari seluruh dunia, memfokuskan kepada usaha mengitar semula sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan bom menjadi blok atau bata binaan yang boleh diguna semula.

Krisis Runtuhan Ekologi Terburuk Dunia

Selepas hampir dua tahun perang rejim Israel berlarutan di Gaza, rantau tersebut kini berhadapan dengan salah satu krisis bandar dan alam sekitar yang paling parah dalam sejarah moden. Lambakan sisa runtuhan yang dianggarkan mengecah lebih 60 juta tan telah terkumpul di seluruh enklaf berkenaan. Kemusnahan kediaman, sekolah, jalan raya, dan infrastruktur, ditambah pula dengan sekatan ketat kemasukan bahan binaan, menjadikan usaha pembintahan semula Gaza sangat sukar untuk dibayangkan.

Bagi Tala dan Farah, runtuhan di sekeliling mereka bukan sekadar serpihan batu, malah ia membawa beban emosi rumah yang musnah, pendidikan yang terganggu, dan kehidupan yang berubah secara ganas. Namun, realiti getir itu memaksa mereka berfikir secara praktikal untuk mencari jalan keluar bagi komuniti mereka.

“Kami asyik tertanya-tanya bagaimana sesuatu yang disebabkan oleh kemusnahan boleh digunakan untuk membina semula. Kami berhasrat untuk mengubah runtuhan rumah yang musnah menjadi penyelesaian sebenar untuk masalah itu sendiri,” kata Tala Mousa.

Projek Mudah Berimpak Tinggi

Daripada 6,095 pasukan yang bertanding di peringkat global, inovasi dua beradik ini berjaya melonjakkan mereka ke kelompok 35 pasukan teratas sebelum memenangi anugerah tersebut. Formula dan proses di sebalik bata ‘Membina Harapan’ ini adalah seperti berikut:

Berjuang Di Bawah Bedilan Bom dan Sesi Berpindah-randah

Kejayaan ini tidak datang bergolek. Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, keluarga remaja ini telah dipaksa berpindah-randah berkali-kali bagi menyelamatkan diri. Ketiadaan ruang yang selamat, kekurangan sumber, serta tekanan emosi di bawah bedilan bom menjadi cabaran terbesar sepanjang projek ini dijalankan.

Bagaimanapun, sokongan padu daripada keluarga menjadi tunjang utama kekuatan mereka. Selain dorongan moral daripada ibu bapa, datuk mereka turut memainkan peranan fizikal yang penting dalam membantu menghasilkan prototaip blok bata berkenaan di lapangan. Melalui bimbingan dan mentor yang disediakan oleh pihak The Earth Prize, idea mentah tersebut akhirnya berjaya dizahirkan sebagai solusi praktikal.

Membina Masa Depan dan Melahirkan Model Belia Gaza

Tala dan Farah menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar untuk pertandingan, tetapi bertujuan menjadi model pembelajaran praktikal bagi anak-anak muda di Gaza melalui penganjuran bengkel. Mereka merancang menggunakan dana kemenangan tersebut untuk menyediakan peralatan keselamatan, meningkatkan ujian makmal, serta membina kerjasama komuniti yang lebih luas.

Belia Gaza, menurut mereka, tidak harus dipandang hanya sebagai mangsa perang yang pasif, sebaliknya perlu dilibatkan secara aktif dalam fasa pembangunan semula wilayah mereka demi mengembalikan maruah dan keselamatan komuniti.

Di samping projek ini, kedua-dua beradik tersebut mempunyai cita-cita murni yang tersendiri demi masa depan Palestin:

“Kami benar-benar ingin mengatakan bahawa Gaza bukan sahaja kemusnahan. Di sebalik setiap imej terdapat orang yang mempunyai impian, idea, dan bakat,” ujar mereka menutup bicara.

SUMBER: TRT World

Exit mobile version