Politik identiti yang bersifat merendahkan kelompok lain serta menggunakan agama atau etnik perlu dibanteras bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan dalam pilihan raya, kata Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata politik identiti menjadi antara faktor perpecahan dalam parti atau gabungan politik, justeru pendekatan yang lebih inklusif serta berprinsip perlu diutamakan.
“Sangat mustahak untuk kita membanteras politik identiti, sebaliknya menjunjung politik berprinsip serta menolak total politik identiti sempit yang menghancurkan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak bertemakan “Menang Bersama” di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Dzulkefly berkata rundingan sedang berjalan dengan penuh hikmah dan pihaknya berharap permohonan Amanah untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dipertimbangkan.
Terdahulu, Naib Presiden Amanah Adly Zahari memaklumkan permohonan itu telah dikemukakan melalui perbincangan bersama kepimpinan Pakatan Harapan selain rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
— BERNAMA