Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemukan Selamat Di Ladang Sawit Kinabatangan

Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan cukup sifat telah ditemukan oleh seorang pekerja ladang di kawasan Ladang Karangan Agriculture di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi Duraisamy memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai penemuan bayi seberat 2.4 kilogram itu pada jam 7.27 malam.

Menurut beliau, bayi yang dianggarkan berusia antara tiga hingga lima hari itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan awal. Bayi berkenaan seterusnya dirujuk ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut dan bagi membolehkan tindakan susulan diambil oleh pihak kebajikan.

Mengulas lanjut, Ravi berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan di talian 089-561890 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Dahon di talian 014-5573735.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version