
Seorang bayi lelaki warga Palestin berusia empat bulan disahkan meninggal dunia selepas pasukan tentera Israel bertindak menahan dan menghalang keluarganya selama lebih sejam di sebuah pusat pemeriksaan, sekali gus menyekat rawatan perubatan segera yang diperlukan.
Gabenor Ramallah dan Al-Bireh, Laila Ghannam, memaklumkan bahawa bayi berkenaan, Ahmad Maarouf Zaid, berada dalam keadaan sakit tenat dan kritikal ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital di barat Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.
Ghannam menjelaskan bahawa doktor di Hospital Arab Istishari kemudiannya mengesahkan kematian Ahmad berpunca daripada kelewatan untuk tiba di kemudahan perubatan terbabit ekoran tindakan kejam tentera rejim.
Selain menghalang kenderaan keluarga berkenaan untuk melepasi pusat pemeriksaan, tentera Israel dilaporkan turut melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin dan kenderaan lain di kawasan sekitar, menyebabkan usaha untuk menyelamatkan nyawa bayi itu gagal tepat pada masanya.
Sekatan Pergerakan Jadi ‘Noda Kemanusiaan’
Ghannam mengecam keras insiden tersebut dan menyifatkan kematian tragis mangsa sebagai satu “noda pada hati nurani kemanusiaan.”
Beliau menegaskan bahawa kejadian menyayat hati itu adalah sebahagian daripada dasar terancang Israel yang sengaja mewujudkan rangkaian pusat pemeriksaan tentera, pintu pagar, serta penutupan jalan bagi melumpuhkan mobiliti rakyat Palestin, termasuk menyekat laluan untuk pesakit dan ambulans.
“Tindakan menyasarkan golongan kanak-kanak—sama ada menerusi serangan fizikal oleh pendatang haram Yahudi, pembunuhan secara langsung, mahupun dengan menafikan hak rawatan perubatan sehingga membiarkan mereka mati di pos pengawal—telah menzahirkan wajah sebenar rejim penjajah ini,” katanya.
Israel sehingga kini mengekalkan kawalan ketat di seluruh Tebing Barat yang secara langsung menjejaskan akses penduduk tempatan kepada kemudahan kesihatan asas.
Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April 2026, sebanyak 925 sekatan fizikal telah didokumentasikan di seluruh Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, di mana pusat pemeriksaan dan pintu gerbang jalan raya menyumbang hampir 60 peratus daripada keseluruhan halangan pergerakan tersebut. – AGENSI