Bidaan Nombor Plat Siri ‘FH’ Sempena Hari Wilayah Dibuka Ahad Ini Melalui JPJeBid

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka tawaran bidaan bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘FH’ secara dalam talian bermula Ahad ini (1 Februari) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa orang awam boleh membida nombor bermula daripada ‘FH 1’ sehingga ‘FH 9999’ melalui sistem JPJeBid.

Info Penting Bidaan

Struktur Harga Minimum Bidaan

Harga bidaan ditetapkan mengikut kategori nombor seperti berikut:

Kategori Nombor Harga Minimum (RM)
Nombor Utama RM20,000
Nombor Premium RM5,000
Nombor Menarik RM2,500
Nombor Popular RM500
Nombor Biasa (Running) RM300

Signifikan Siri ‘FH’

Menurut Datuk Aedy Fadly, pengenalan siri ini membawa simbolik yang besar sebagai tanda memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ia juga merupakan satu bentuk penghargaan terhadap peranan penting Kuala Lumpur dan Labuan dalam memacu pembangunan negara.

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran NPI siri ‘FH’ di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, dan Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi.

Orang ramai yang berminat diingatkan supaya mematuhi terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid bagi memastikan proses bidaan berjalan lancar.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version