Bolehkah keringkan anggota badan yang basah selepas ambil wuduk?

Hukum mengeringkan atau mengelap anggota badan yang basah selepas mengambil wuduk adalah harus.

Portal Maktabah Al-Bakri menjelaskan persoalan ini dengan memetik pendapat yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad bahawa Ibn Qudamah menyebutkan bahawa tidak mengapa seseorang itu mengelap anggotanya yang basah disebabkan oleh air wuduk atau mandian dengan kain.

“Diriwayatkan juga daripada Uthman, al-Hasan bin Ali, Anas dan kebanyakan ahli ilmu bahawa mereka menggunakan kain lap setelah berwuduk, dan inilah pendapat yang paling sahih kerana hukum asal bagi sesuatu perbuatan itu adalah harus.

“Selain itu, Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin juga pernah ditanya mengenai perbuatan mengelap anggota wuduk selepas berwuduk. Beliau menjawab, tidak mengapa melakukannya kerana hukum asalnya adalah tiada sebarang tegahan bagi perkara tersebut,” jelasnya.

Di sisi para fuqaha mazhab al-Syafi‘i, terdapat beberapa pendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

 

 

 

 

Dalam pada itu, ia turut memberi pencerahan mengenai perkara itu berdasarkan sebuah hadith daripada Maimunah R.Anha, beliau berkata:

وَضَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضُوءًا لِجَنَابَةٍ، فَأَكْفَأَ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ فَرْجَهُ، ثُمَّ ضَرَبَ يَدَهُ بِالأَرْضِ أَوِ الحَائِطِ، مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ، وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَذِرَاعَيْهِ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى رَأْسِهِ المَاءَ، ثُمَّ غَسَلَ جَسَدَهُ، ثُمَّ تَنَحَّى فَغَسَلَ رِجْلَيْهِ» قَالَتْ: فَأَتَيْتُهُ بِخِرْقَةٍ فَلَمْ يُرِدْهَا، فَجَعَلَ يَنْفُضُ بِيَدِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW meletakkan air untuk mandi junub. Baginda menuangkan air dengan tangan kanan ke atas tangan kiri dua kali atau tiga kali. Kemudian Baginda membasuh kemaluan, seterusnya Baginda menggosokkan tangannya di tanah atau katanya: dinding dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung, membasuh muka dan kedua tangannya. Kemudian mencurahkan air ke atas kepalanya, barulah) Baginda membasuh seluruh badan. Kemudian Baginda berganjak sedikit dari tempat mandinya lalu membasuh kedua kakinya.” Maimunah berkata: ‘Aku pun menghulurkan kepadanya sepotong kain tetapi Baginda tidak mahu, lalu Baginda SAW hanya mengibas-ngibaskan tangan untuk menggugurkan sisa air pada badannya.’

Kesimpulannya, perbuatan mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk dengan menggunakan tuala atau seumpamanya adalah diharuskan.

Ia lebih-lebih lagi jika ada keperluan untuk mengelap anggota wuduk bagi mengelakkan perasaan tidak selesa dalam beribadah atau seumpamanya. Hal ini kerana tiada sebarang nas yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan itu dilarang mahupun ditegah.

Exit mobile version