CEO Alam Maritim Didakwa Atas Pertuduhan Menipu Kadar Sewaan Harian Kapal

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan kadar sewaan harian kapal.

Tertuduh, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Azmi di mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menipu Pegawai Prinsipal TH Alam Management Sdn Bhd, Iskandar Mohd Zaffa, 48, dengan cara menyembunyikan tawaran sebenar kadar sewaan harian kapal (Daily Charter Rate) bertarikh 24 Ogos 2023 yang memperuntukkan nilai sebanyak RM80,500 sehari di dalam dokumen Work Order.

Tindakan tersebut didakwa telah mendorong mangsa bersetuju menandatangani perjanjian BIMCO Supplytime 2017 dengan kadar sewaan harian yang lebih rendah iaitu berjumlah RM70,000 sehari di antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Exit mobile version