
Persidangan Dewan Rakyat hari ini bakal menumpukan perhatian kepada prestasi pertumbuhan ekonomi tahun 2025 serta pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali di tengah-tengah perkembangan geopolitik semasa.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, isu ekonomi akan dibangkitkan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri oleh Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam). Beliau meminta Perdana Menteri menjelaskan faktor-faktor penyumbang kepada prestasi pertumbuhan ekonomi 2025 yang dijangka mengatasi unjuran awal antara empat hingga 4.8 peratus, susulan anggaran awalan suku keempat 2025 yang mencatatkan 5.7 peratus.
Pada sesi yang sama, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) turut meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai keperluan meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia kekal dengan prinsip negara berkecuali dalam menghadapi situasi geopolitik global yang semakin mencabar.
Tumpuan turut terarah kepada sesi soal jawab lisan, di mana Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Menteri Digital memperincikan bagaimana undang-undang kecerdasan buatan (AI) akan menangani isu liabiliti dan akauntabiliti sekiranya berlaku pelanggaran hak asasi pengguna.
Isu sosial turut mendapat perhatian apabila Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) membangkitkan persoalan mengenai strategi Kementerian Perpaduan Negara dalam menyemai semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi Z agar tidak luntur dek arus pemodenan. Selain itu, Zulkifli Ismail (PN-Jasin) meminta penjelasan mengenai tindakan tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap perkhidmatan ‘Coach Cerai’ yang didakwa menormalisasikan perceraian dan meruntuhkan institusi kekeluargaan Islam.
Seusai sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, disusuli sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen. Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac depan.
SUMBER: BERNAMA