Dua Beradik Wanita Ditahan Selepas Kantoi Beli Petrol Berulang Kali di Tumpat

Tindakan dua beradik wanita yang melakukan pembelian petrol secara berulang di sebuah stesen minyak membawa padah apabila mereka ditahan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, semalam.

Suspek yang masing-masing berusia 33 dan 23 tahun itu ditahan pada jam 1.57 tengah hari di sekitar daerah Tumpat. Tangkapan tersebut merupakan hasil risikan dan pemantauan di bawah Ops Gempur Barang Kawalan yang dijalankan bagi membendung aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar, memaklumkan bahawa pasukan penguat kuasa telah mengekori kereta jenis Proton Wira Sedan yang dipandu suspek sehingga ke Kampung Jubakar Darat. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan lima tong yang disyaki berisi minyak petrol di dalam bonet belakang.

Selain tong minyak, pihak berkuasa turut menemui sebuah tangki tambahan yang dipercayai telah diubah suai pada kenderaan tersebut untuk tujuan menyimpan petrol dalam kuantiti yang besar. Tangki ubah suai itu dianggarkan mampu memuatkan kira-kira 250 liter minyak petrol.

Pihak KPDN telah menyita kenderaan serta bekalan petrol tersebut untuk tindakan lanjut. Kedua-dua wanita berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Aswadi turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan, terutama di kawasan sempadan, bagi memastikan barangan kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

SUMBER: BERNAMA

Exit mobile version