
Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.32 petang, melibatkan kanak-kanak berusia 12 dan 14 tahun. Susulan itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dengan enam anggota digerakkan ke lokasi dan tiba pada 6.39 petang.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan longkang utama oleh pasukan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis menambah kedua-dua mangsa merupakan adik-beradik dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan.
Sumber: Bernama