
AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) mengingatkan orang ramai dan bakal penumpang supaya membuat pembelian tiket penerbangan hanya menerusi saluran jualan rasmi syarikat bagi mengelakkan kesulitan serta penipuan.
Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu memaklumkan bahawa sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak mereka mengesan aktiviti penjualan semula tiket secara tidak sah oleh pihak tertentu menerusi pelbagai platform dalam talian.
Menurut kenyataan rasmi syarikat, pembelian menerusi pihak ketiga berisiko mendedahkan penumpang kepada pelbagai isu seperti dikenakan harga tambang yang lebih tinggi, caj pentadbiran tidak sah, kelewatan pengesahan tempahan, serta kesukaran mendapatkan bayaran balik atau bantuan tempahan semula sekiranya berlaku gangguan penerbangan.
“Tempahan secara terus menerusi AirBorneo menjamin harga tambang yang tepat dan terkini tanpa sebarang caj perkhidmatan tersembunyi. Selain itu, penumpang berhak menikmati pampasan dan perlindungan sepenuhnya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016,” jelas kenyataan berkenaan.
AirBorneo turut menegaskan bahawa pihak syarikat tidak membenarkan penjualan semula tiket pada harga lebih tinggi oleh ejen atau platform tidak rasmi dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah yang timbul daripada tempahan di luar saluran rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membuat tempahan hanya melalui:
-
Laman sesawang rasmi (www.airborneo.com)
-
Aplikasi mudah alih rasmi AirBorneo (Google Play Store / Apple App Store)
-
Kaunter jualan tiket rasmi
-
Ejen pelancongan bertauliah yang dilantik secara rasmi
Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusyokan berhubung iklan meragukan atau masalah tempahan pihak ketiga boleh menghubungi khidmat pelanggan AirBorneo di talian 1-300-22-1388 (dalam negara) atau +6082-537555 (panggilan antarabangsa).
Sumber: Agensi Berita Rasmi