
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, telah memuji ikatan solidariti yang mendalam antara Türkiye dan Palestin susulan perlawanan bola sepak persahabatan yang penuh emosi di Konya, Turki tengah.
Perlawanan tersebut, yang menemukan kelab bola sepak tempatan Konyaspor dan pasukan kebangsaan Palestin, diadakan sebagai acara kemuncak peringatan khas “Hari Palestin” bagi memberi penghormatan kepada ribuan kanak-kanak yang terkorban akibat kekejaman rejim Israel di Gaza.
Dalam hantaran yang dikongsi di platform X, Erdogan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai contoh luar biasa persaudaraan dan kesatuan hati antara kedua-dua negara. “Sebagai rakyat Turki, kami akan terus bersatu dan bersolidariti dengan saudara-saudari Palestin dan Gaza kami, mempertahankan hak mereka di pentas antarabangsa, dan menunjukkan solidariti kami dengan mereka dengan cara yang paling kuat,” tegas beliau.
Lebih 42,000 penyokong tempatan membanjiri stadium di Konya bagi mengalu-alukan skuad kebangsaan Palestin dan secara terbuka menunjukkan sokongan kolektif terhadap perjuangan Palestin. Meskipun perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 2-2, acara tersebut berjaya menarik perhatian global terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah yang dikepung itu.
SUMBER: TRT World & Agensi