
Penularan sekeping foto yang memaparkan seorang tahanan warga Palestin ditutup matanya, dibogelkan, dan diikat pada sebuah katil bayi oleh tentera Israel telah mencetuskan usaha pencarian terdesak bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Keadaan itu sekali gus menambah penderitaan dua ibu di Gaza, Rana Abu Nassar dan Joudeh Al-Ghoul, yang masing-masing mendakwa serta amat yakin bahawa lelaki yang didera di dalam gambar tersebut merupakan anak lelaki mereka yang telah hilang.
Foto berkenaan, yang asalnya dimuat naik di platform Instagram oleh seorang pengguna sebelum akaun tersebut dipadamkan, menunjukkan mangsa dalam keadaan tangan terikat ke belakang dan kaki kanannya diikat pada sudut katil. Malah, sebatang kayu turut diikat pada bahagian belakang badannya dari paras kaki hingga ke leher dengan tulisan bahasa Ibrani berbunyi “selamat pagi” tertera pada imej itu.
Pihak tentera Israel mengakui ketulenan foto tersebut dan mendakwa siasatan sedang dijalankan, namun enggan mendedahkan nama atau lokasi tahanan berkenaan.
‘Naluri Ibu Tidak Pernah Salah’
Bagi Rana Abu Nassar, beliau percaya individu di dalam gambar itu ialah anaknya, Osama, yang ditangkap pada Mac lalu berhampiran garisan gencatan senjata.
“Saya tahu setiap butiran fizikal tubuhnya. Kaki kirinya yang bengkak dan kesan parut yang kelihatan dalam gambar itu amat seiras dengan anak saya,” katanya.
Osama, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental, ditahan bersama anaknya yang berusia setahun. Bayi berkenaan dibebaskan pada hari yang sama, namun dilaporkan mempunyai kesan kecederaan akibat dicucuh puntung rokok pada bahagian kaki—dakwaan yang dinafikan oleh tentera Israel.
Sementara itu, kesedihan yang sama turut dirasai Joudeh Al-Ghoul dari sebuah kem pelarian di Bandar Gaza. Beliau percaya mangsa ialah anaknya, Amin, yang ditangkap pada November 2023 ketika cuba berpindah dari selatan ke utara Gaza.
“Melihat kepada rambut dan dagunya, dialah anak saya. Naluri seorang ibu tidak akan menipu. Saya terus memeluk telefon bimbit ini dan menangis semahu-mahunya. Dia adalah jiwa dan hidup saya,” luah Al-Ghoul.
Desakan Lawatan Peguam
Isu ini turut mendapat perhatian pertubuhan hak asasi manusia. Persatuan Banduan Palestin menerusi wakilnya, Amani Sarahneh, memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan nama kedua-dua lelaki berkenaan kepada pihak tentera bagi memohon kebenaran lawatan peguam.
“Proses penyelarasan mengambil masa yang sangat lama dan lawatan hanya boleh dilakukan dengan kesukaran yang amat besar,” kata Sarahneh.
Dianggarkan seramai 1,200 rakyat Palestin dari Gaza kini ditahan di Israel di bawah ‘Undang-undang Interniran Pejuang Haram’, yang membenarkan penahanan tanpa had masa mahupun perbicaraan rasmi. Terdahulu, pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan Israel yang didakwa menggunakan kaedah penyeksaan sebagai bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin. – AG ENSI