
Di sebalik perjanjian gencatan senjata yang diuar-uarkan, tentera rejim Israel terus melancarkan siri serangan artileri dan udara baharu di seluruh Semenanjung Gaza pada awal pagi Ahad, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terkorban dan puluhan lagi cedera.
Insiden berdarah ini menambah senarai panjang pelanggaran komitmen Tel Aviv terhadap perjanjian kedamaian yang sepatutnya berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Serangan Udara dan Artileri Bertubi-Tubi
Menurut sumber perubatan tempatan, mayat dua warga Palestin dibawa ke Hospital al-Shifa selepas terkorban dalam serangan artileri Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di Jalan Kashko, dalam kawasan kejiranan Zeitoun di Bandar Gaza.
“Serangan turut dilancarkan menggunakan helikopter rejim yang membedil sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Eidiya, barat Bandar Gaza. Serangan ini mencederakan ramai penduduk awam, termasuk golongan wanita dan kanak-kanak,” jelas sumber berkenaan kepada agensi berita Anadolu.
Keganasan rejim tidak terhenti di situ apabila kapal perang Israel bertindak membedil pesisir pantai Bandar Gaza. Pada masa yang sama, helikopter dan pasukan artileri mereka turut mengesampingkan keselamatan pelarian dengan membedil kawasan timur kem pelarian Jabalia di utara Gaza.
Sementara itu di bahagian selatan, serangan bertumpu di Khan Younis. Pasukan tentera dilaporkan melepaskan tembakan berhampiran kompleks kediaman Hamad dan menyasarkan kawasan Sheikh Nasser serta bulatan Bani Suheila dengan bedilan artileri. Seorang lelaki Palestin disahkan mengalami kecederaan sederhana dalam insiden tersebut.
Gencatan Senjata Berdarah Jenama Israel
Bagi jutaan rakyat Palestin yang terperangkap di bawah sekatan ketat dan pencerobohan harian, janji gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 kini dianggap tidak lebih daripada satu “ilusi”.
Tindakan Israel yang terus menutup hampir keseluruhan lintasan sempadan utama telah menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan asas, sekali gus memburukkan lagi krisis kebuluran dan kesihatan awam.
Statistik terbaharu daripada Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan, pelanggaran perjanjian oleh rejim Zionis ini telah mengorbankan ,1127 nyawa dan mencederakan 3,643 yang lain setakat Khamis lalu.
Secara keseluruhannya, sejak kempen pembunuhan beramai-ramai bermula pada 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin telah syahid dan lebih 173,000 cedera, selain menyaksikan kemusnahan skala besar yang melumpuhkan 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.
Sumber: AA / TRT World