Guru tadika rugi RM100,000 ditipu individu menyamar sebagai suami

Seorang guru tadika berusia 52 tahun kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan mesej WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai suaminya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, berkata kejadian berlaku apabila mangsa menerima mesej daripada nombor tidak dikenali menggunakan gambar profil suaminya, yang mendakwa menghadapi masalah akaun bank dan memerlukan bantuan kewangan segera bagi urusan perniagaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa telah melakukan tujuh transaksi pindahan wang ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM100,000 pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suaminya yang ketika itu berada di China atas urusan kerja dan mendapati nombor WhatsApp sebenar suaminya telah digodam.

“Mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis semalam,” jelas Raub.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu, dan pihak polis kini giat mengesan suspek serta rangkaian yang terlibat.

Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa membuat pengesahan secara terus dengan individu terlibat sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan siber.

Sumber: Bernama

Exit mobile version