Hajiji temui sukarelawan Sabah sertai misi kemanusiaan ke Gaza

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, meluangkan masa bertemu dengan Sul Aidil Sudi, wakil Malaysia dari Sabah yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza awal bulan ini.

Dalam pertemuan santai di Sri Gaya, Hajiji memuji keberanian Sul selepas mendengar sendiri pengalaman sukarelawan itu ketika kapal GSF yang dinaikinya dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.

“Saya gembira kerana anda dan rakan-rakan selamat pulang ke tanah air,” katanya kepada Sul yang berasal dari Tawau.

Kredit foto FB Hajiji Haji Noor

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Khairul Azlee Mohd Yunus dari Sandakan, yang bertugas sebagai kru darat Malaysia bagi misi GSF di Sepanyol.

Zizi Kirana Kredit foto FB Ahmad Jimmy

Seorang lagi sukarelawan dari Sabah, Zizi Kirana, tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.

Misi GSF yang disertai lebih 200 sukarelawan dari seluruh dunia itu bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, namun dihalang tentera Israel sebelum sampai ke destinasi.

Hajiji menyatakan kebanggaan terhadap semangat kemanusiaan anak Sabah yang sanggup menggalas misi berisiko demi rakyat Palestin.

“Keberanian dan keikhlasan mereka wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda Sabah,” katanya. – SabahNewsToday

Exit mobile version