
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada malam Ahad menyertai hampir 10,000 jemaah di Masjid Putra, Putrajaya bersempena program Munajat Keluarga Malaysia 2022.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu diadakan bersempena setahun pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri kemudian menyertai jemaah menunaikan solat Isyak dengan bacaan doa dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Munajat Keluarga Malaysia 2022 dijalankan serentak di 5 lokasi selain termasuk di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Dengan tema ‘Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia – Teguh Bersama’, Munajat Keluarga Malaysia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya.
Pada program itu, kira-kira 600 individu asnaf menerima pelbagai barang keperluan harian termasuk ayam, beras, minyak masak dan telur.
“Alhamdulillah selepas setahun penekanan yang diberikan kebetulan waktu Ismail Sabri naik, pandemik masih lagi kemuncak maka seluruh agensi, kementerian diarahkan untuk memastikan supaya kita dapat menyantuni rakyat terutamanya golongan B40.” luah Datuk Haji Idris Ahmad
Tambah beliau lagi, “Sebanyak 14 agensi di bawah saya turut menyahut seruan itu dan boleh katakan setiap minggu kita mengadakan program sumbangan yang merangkumi seluruh negara.”
Sementara itu Haji Idris menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang genap setahun pentadbirannya pada Ahad sememangnya proaktif dalam membantu rakyat menerusi program berorientasikan rakyat.
Dengan cabaran pandemik yang melanda negara, program turun padang giat dilaksanakan bagi menyantuni rakyat yang memerlukan.
Untuk rekod, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob mengangkat sumpah Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 21 Ogos 2021.