Hanya $1 bagi Pajakan 99 Tahun, Israel Serah Tanah Rampasan Milik Palestin untuk Kedutaan Tetap AS

Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani satu perjanjian kontroversi yang membolehkan Washington memperoleh sebidang tanah milik rakyat Palestin di Baitulmaqdis Barat dengan harga serendah AS$1 (kira-kira RM4.45) di bawah kontrak pajakan selama 99 tahun.

Tanah tersebut, yang dimiliki oleh warga Palestin sebelum peristiwa Nakba 1948, bakal digunakan bagi membina tapak rasmi dan tetap untuk kompleks Kedutaan AS di bandar raya suci itu.

Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perjanjian itu ditandatangani pada Rabu oleh Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dan Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, serta disaksikan oleh Datuk Bandar Baitulmaqdis, Moshe Lion.

“Perjanjian pajakan untuk tanah itu adalah bagi tempoh 99 tahun, dan Amerika Syarikat hanya akan membayar Israel sejumlah AS$1,” kata Huckabee mengesahkan perkara tersebut.

Dirampas Guna Undang-Undang Berat Sebelah

Langkah berkenaan mengundang kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi manusia. Pada tahun 2022, Adalah—sebuah pertubuhan hak asasi manusia di Israel—mendedahkan bahawa tapak yang diperuntukkan untuk kedutaan tersebut sebenarnya telah dirampas secara tidak sah daripada pemilik asal warga Palestin.

Rejim menggunakan Undang-Undang Harta Orang Tidak Hadir Israel 1950 bagi menghalalkan rampasan itu. Dokumen arkib membuktikan tanah terbabit adalah milik mutlak beberapa keluarga Palestin sebelum tahun 1948, yang mana ia pernah dipajakkan kepada pihak berkuasa Mandat British.

Adalah menegaskan bahawa peluasan Kedutaan AS di Baitulmaqdis Barat serta perampasan tanah persendirian ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Perkara 46 Peraturan Hague yang melarang keras rampasan harta peribadi secara paksa.

Melanggar Konsensus Antarabangsa

Imbas kembali, Presiden AS Donald Trump pada penggal pertamanya (Disember 2017) telah mengarahkan perpindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, dengan pejabat sementaranya mula dibuka pada Mei 2018. Tindakan itu dikutuk hebat oleh komuniti global kerana membelakangi status undang-undang bandar berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara konsisten mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah Palestin yang diduduki sejak perang tahun 1967. PBB menegaskan sebarang usaha unilateral untuk mengubah demografi, sifat, atau status undang-undang bandar itu adalah tidak sah dan tidak memberi sebarang kesan di bawah undang-undang antarabangsa.

Sehingga kini, majoriti besar negara-negara dunia enggan mengikut jejak langkah AS dan memilih untuk mengekalkan kedutaan masing-masing di Tel Aviv bagi menghormati resolusi antarabangsa berhubung status geopolitik Baitulmaqdis.

SUMBER: Anadolu Agency (AA) & Agensi

Exit mobile version