Hunter Biden Gelar Netanyahu ‘Jelmaan Jahat’, Dedah Pihak Israel Dalangi Dakwaan Komputer Riba
Bahruddin Bekri
Anak lelaki bekas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Hunter Biden, menegaskan bahawa tindakan mengkritik kerajaan Israel bukanlah satu sikap anti-Semitik, sambil melabel Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai “jelmaan jahat”.
“Jika mengkritik Netanyahu dan menggelarnya sebagai jelmaan jahat dianggap anti-Semitik, saya tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakan kepada umum,” kata Hunter dalam satu sesi temu bual bersama penyiar terkenal AS, Tucker Carlson.
Kenyataan beliau bagaimanapun mencetuskan reaksi dalam talian, dengan pelbagai pihak membangkitkan ironi berikutan sokongan pentadbiran bapanya terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza semasa menjawat jawatan presiden.
Dalam temu bual yang sama, Carlson turut mendedahkan bahawa pihak yang mendesak tuduhan berhubung kandungan tidak senonoh pada komputer riba Hunter Biden sebelum ini adalah ejen yang rapat dengan Netanyahu. Carlson mendakwa pihak Israel secara aktif mendesak beliau untuk melaporkan dakwaan berkenaan, walaupun tuduhan terhadap Hunter itu tidak pernah terbukti.