
Tentera Israel dilaporkan sedang giat membina penghalang tanah gergasi secara senyap yang memisahkan lebih 50 peratus wilayah Gaza daripada kawasan selebihnya. Laporan berdasarkan imej satelit terbaharu mendedahkan langkah itu bagi mengukuhkan lagi pendudukan kekal rejim berkenaan di Semenanjung Gaza.
Menurut analisis imej satelit daripada Planet Labs PBC, benteng tanah (berm) sepanjang lebih 23 kilometer telah dibina dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini merentasi kawasan perumahan Palestin yang dirobohkan. Panjang binaan itu merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan panjang kawasan pesisir pantai Gaza.
Apabila ditunjukkan imej berkenaan, pihak tentera Israel mengesahkan kepada agensi berita The Associated Press bahawa mereka telah membina penghalang fizikal di sepanjang apa yang dipanggil “Garisan Kuning” (Yellow Line). Garisan tersebut merupakan sempadan pengunduran sementara tentera Israel di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025.
Pembinaan Berlangsung Pantas
Data satelit menunjukkan pembinaan benteng fizikal ini bergerak pada kadar yang amat pantas:
-
Selatan Gaza (Rafah – Mawasi): Benteng tanah berhampiran Rafah meluas daripada hanya 500 meter pada awal Julai 2026 kepada 2.4 kilometer menjelang pertengahan Julai. Binaan ini memisahkan runtuhan kota Rafah yang dikuasai Israel daripada kawasan perkhemahan pelarian Mawasi.
-
Laluan Utama (Khan Younis – Bandar Gaza): Sekiranya pembinaan berterusan, ia bakal bercantum dengan laluan penghalang terpanjang sejauh 17 kilometer yang dibina sejak Februari lalu dari Khan Younis hingga berhampiran Bandar Gaza.
-
Utara Gaza: Beberapa bahagian benteng turut dikesan dibina berhampiran bandar Beit Lahia yang kini rata dimusnahkan.
Kebimbangan Pendudukan Kekal
Perkembangan ini meningkatkan ketakutan warga Palestin bahawa Garisan Kuning—yang sepatutnya menjadi sempadan sementara sementara menunggu pengunduran penuh Israel—sedang diubah menjadi sempadan wilayah kekal.
Selain benteng tanah, tentera Israel turut membangunkan “zon keselamatan” di sekitar garisan tersebut yang dilengkapi aset perisikan serta teknologi ketenteraan.
Di sebelah timur Garisan Kuning, imej satelit mengesahkan bahawa tentera Israel telah meratakan sebahagian besar bangunan kediaman, premis perniagaan, serta kawasan pertanian menggunakan jentolak dan bahan letupan. Laluan jalan raya baharu serta pangkalan tentera turut didirikan di atas runtuhan bandar yang dahulunya menjadi tempat tinggal ratusan ribu rakyat Palestin.
Pencabulan Gencatan Senjata Berterusan
Walaupun perjanjian gencatan senjata menetapkan pengunduran berperingkat tentera Israel untuk digantikan dengan pasukan keselamatan antarabangsa, pelaksanaannya kini terhenti sepenuhnya.
Sejak perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan, pihak kementerian kesihatan melaporkan tentera Israel telah membunuh lebih 1,100 rakyat Palestin melalui siri serangan udara dan tembakan di sekitar garisan berkenaan. Secara keseluruhannya, perang genosid rejim Israel telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa manakala lebih 120,000 lagi cedera.
— TRT World & Agensi